
KULAI: Sebanyak 158 stesen pemancar komunikasi terjejas akibat banjir di seluruh negara dengan 151 daripadanya telah pulih dan kembali beroperasi setakat ini.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching (gambar) berkata kesemua stesen pemancar komunikasi yang terjejas itu melibatkan Terengganu sebanyak 66 stesen, Kelantan (59), Johor (21), Pahang (9), Selangor (2) dan Sabah (1).
Beliau berkata daripada jumlah itu juga, sebanyak 117 stesen diputuskan bekalan elektrik oleh pihak Tenaga Nasional Bhd, manakala 38 melibatkan kerosakan peralatan elektronik dan tiga pula terjejas akibat akses jalan ke stesen terlibat dinaiki air.
“Setakat ini, tujuh stesen pemancar komunikasi yang belum beroperasi adalah di Johor, kebanyakannya di daerah Kota Tinggi dan Kluang,” katanya kepada Bernama selepas mengadakan lawatan ke Projek Naik Taraf Bilik Susuan di Klinik Kesihatan Kulai Besar di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai jumlah stesen pemancar komunikasi yang telah terjejas akibat banjir setakat ini.
Menurut Teo, Kementerian Komunikasi mengguna pakai prosedur operasi standard (SOP) sedia ada dalam persediaan banjir dengan meminta syarikat telekomunikasi (telco) melakukan ‘site hardening’ di menara telekomunikasi yang menjadi lokasi ‘hot spot’ banjir.
Syarikat telco juga, katanya turut meletakkan generator di kawasan terjejas bagi mengelakkan gangguan perkhidmatan telekomunikasi.
“Bagaimanapun, kita faham penggunaan generator hanya untuk tempoh empat jam sahaja, jadi kalau ada kawasan terputus bekalan elektrik untuk tempoh masa yang lebih panjang generator tersebut akan ditukar.
“(Penggunaan generator) turut bergantung kepada keadaan semasa, termasuk sekiranya akses jalan ke sesuatu tempat itu tidak boleh dimasuki akibat banjir, jadi ia mungkin agak sulit,” katanya.
Setakat ini, hanya Johor dan Pahang yang masih terjejas bencana itu.
Terdahulu, Teo yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata pihaknya telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM376,141 sejak 2018 hingga tahun lepas bagi sektor kesihatan di daerah Kulai.
Beliau berkata antaranya peruntukan sebanyak RM148,041 bagi menaik taraf parkir menggunakan tar di Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim dan menaik taraf sektor vektor Klinik Kesihatan Kulai Besar. -Bernama

