
SEREMBAN – Seorang lelaki disyaki terbabit dalam kegiatan dadah ditembak dalam kejadian di kawasan perumahan Garden Homes, di sini, kira-kira pukul 1.50 petang hari ini.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
“Ya, saya sahkan kejadian itu,” katanya ringkas.
Difahamkan, suspek berusia lingkungan 50-an dan maklumat lanjut berhubung kejadian akan dimaklumkan esok oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN).
Sementara itu, seorang saksi dikenali Ali, 72, berkata pada pukul 2 petang tadi, dia berada di rumah selepas selesai menunaikan solat sebelum kejadian dimaklumkan jiran mengenai insiden berkenaan.
Menurutnya, seorang jiran mendakwa terdengar bunyi tembakan, namun dia sendiri tidak mendengar sebarang bunyi kerana berada di dalam rumah.
“Selepas itu, banyak kereta polis berada di kawasan berkenaan dan jalan di hadapan rumah disekat sehingga kenderaan tidak dibenarkan masuk,” katanya.- KOSMO! ONLINE
The post ‘Terkejut ada lelaki ditembak di Garden Homes’ appeared first on Kosmo Digital.






