Terkejut lihat hampir seluruh bumbung rumah tercabut

4 Sep 2023 • 8:09 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Noor Hasni menunjukkan keadaan rumahnya yang sudah tidak berbumbung akibat ribut pagi Isnin.

image is not available
Bumbung rumah Noor Hasni yang diterbangkan angin kuat.

KEPALA BATAS - Ribut yang melanda beberapa kawasan di daerah Seberang Perai Utara (SPU) di sini, pada pagi Isnin mengakibatkan beberapa buah rumah rosak.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 10.30 pagi itu menyebabkan sebahagian besar bumbung rumah penduduk tercabut diterbangkan angin.

Turut dilaporkan rosak, bumbung bangunan di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang di Pongsu Seribu di sini.

Peniaga di Permatang Binjai, Noor Hasni Saad berkata, kejadian yang berlaku mengakibatkan hampir keseluruhan bumbung rumahnya tercabut.

Menurutnya, ketika kejadian dia berada di kedai dan hanya mengetahui mengenai kejadian itu selepas dimaklumkan oleh anaknya yang berada di rumah.

"Ketika kejadian anak lelaki bersama seorang cucu saya berada di rumah. Alhamdulillah mereka tidak mengalami sebarang kecederaan namun trauma dengan kejadian yang berlaku.

"Sebaik saya sampai ke rumah memang terkejut bila lihat hampir keseluruhan bumbung tercabut, tapi tak apa lah saya reda dengan apa yang berlaku," katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di sini, pada Isnin.

Noor Hasni yang juga aktivis masyarakat di kawasan Kepala Batas berkata, walaupun sedih kerana rumah kediaman yang dihuni bersama isteri dan enam anaknya rosak teruk, dia bersyukur kerana kejadian tidak mengakibatkan kemalangan jiwa.

Katanya, disebabkan hujan lebat pada pagi tadi turut mengakibatkan perabot serta barangan elektrik di rumahnya rosak.

Dia menganggarkan kerugian yang dialami akibat bencana itu melebihi RM40,000.

Bagaimanapun Noor Hasni bersyukur kerana pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan tampil menghulurkan bantuan awal kepada keluarganya.