KUANTAN - “Memang ada rasa terkilan sebab ramai lagi yang buang sampah merata-rata tetapi tidak dikenakan tindakan.”
Itu luahan seorang pemuda, Muhammad Adli Anwar, 26, selepas dikenakan hukuman kerja khidmat masyarakat kerana membuang puntung rokok merata-rata baru-baru ini.
Bagaimanapun, Muhammad Adli berkata, dia reda dengan hukuman tersebut dan menganggapnya sebagai pengajaran supaya tidak mengulangi kesalahan sama.
Menurutnya, walaupun perbuatan membuang puntung rokok dianggap kecil oleh sesetengah pihak, ia tetap satu kesalahan yang memberi kesan kepada kebersihan persekitaran awam.
“Saya akui bersalah kerana membuang puntung rokok di belakang pokok dan bila kena jalani kerja khidmat masyarakat ini, saya sedar ia bukan sekadar hukuman, tetapi pengajaran.
“Pada masa itu memang ada rasa ‘seronok’ atau puas sebab saya sedang menebus kesalahan sendiri dan selepas ini saya tidak akan ulangi lagi perbuatan tersebut,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Taman Gelora di sini pada Ahad.
Muhammad Adli merupakan antara lapan pesalah yang diperintahkan mahkamah untuk melaksanakan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) melibatkan kerja pembersihan awam di lokasi tumpuan iaitu Taman Gelora, Kuantan dan Taman Tema, Kuala Lipis.
Sementara itu, seorang lagi pesalah yang mahu dikenali sebagai Mamat, 31, berkata, hukuman kerja khidmat masyarakat yang dikenakan terhadapnya melibatkan beberapa sesi serta pergerakan antara Terengganu dan Pahang, sekali gus memberi kesan dari segi masa dan kos.
Dia mengakui perlu berulang-alik untuk urusan mahkamah di Melaka serta pelaksanaan kerja khidmat masyarakat di Temerloh dan Kuantan.
“Kalau ikutkan, saya dari Terengganu, kena pergi mahkamah, lepas itu buat khidmat masyarakat di Temerloh dan Kuantan.
“Memang banyak kali ulang-alik, jadi kos pun meningkat hampir RM1,500, tapi saya terpaksa akur dengan kesalahan yang dilakukan,” ujarnya yang menjalani hukuman selama empat jam.
Mamat yang menjalani sesi kedua hukuman itu berkata, berdasarkan pengalaman tersebut, kesalahan pertama wajar dipertimbangkan untuk dikenakan kompaun atau amaran sebelum tindakan lebih berat diambil.
“Kalau boleh, kes pertama ini bagi kompaun dulu atau amaran. Itu lebih memudahkan,” luahnya.
Dalam masa sama, Mamat menyeru masyarakat supaya lebih peka dan tidak menunggu sehingga dikenakan tindakan undang-undang untuk berubah.
“Kalau nampak sampah, kutip dan buang di tempat yang betul. Jangan buat lagi perkara buang sampah itu. Kesedaran itu perlu datang dari diri sendiri,” ujarnya.



