[TERKINI] Najib Razak Diarah Bela Diri Kesemua 25 Pertuduhan Penyelewengan Libat Dana 1MDB

LocalPolitics
30 Oct 2024 • 11:50 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini telah memerintahkan Datuk Seri Najib Razak membela diri terhadap 25 tuduhan penyelewengan berkaitan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut Harian Metro, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah yang kini hakim Mahkamah Rayuan telah memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir pendakwaan.

image is not available

Najib kemudian diberi tiga pilihan iaitu pertama, beliau boleh berdiam diri dan tidak menjawab pertuduhan; kedua, beliau boleh memberi kenyataan tidak bersumpah daripada tempat saksi tanpa pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan.

Bagi pilihan ketiga, bekas Presiden Umno itu memberi keterangan secara bersumpah dengan pihak pendakwaan diberikan peluang untuk menyoalnya semasa pemeriksaan balas.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib berkata, anak guamnya ‘tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan’ dan beliau akan memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi dengan pihak pendakwaan diberikan peluang untuk menyoalnya semasa pemeriksaan balas.

Terdahulu, Najib menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Beliau yang juga bekas ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi pertuduhan haram pula antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013 di lokasi sama.

Najib telah didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

image is not available

Bekas Menteri Kewangan itu berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan tersebut di bank sama pada 22 Mac dan 30 Ogos 2013.

Berita lanjut menyusul…

Sumber: Harian Metro

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.