Terlalu banyak kempen merdeka tentang bendera, saya angkat Surat Khabar Lama – Raja Azrey

Entertainment
24 Aug 2026 • 2:46 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Terlalu banyak kempen merdeka tentang bendera, saya angkat Surat Khabar Lama – Raja Azrey

KUALA LUMPUR: Pengarah, Raja Azrey, 48, tampil dengan pendekatan berbeza menerusi karya terbaharunya, iklan drama pendek berjudul Surat Khabar Lama yang mengangkat tema kemerdekaan dan perpaduan dengan menjadikan surat khabar sebagai elemen utama penceritaan.

Menurut Raja Azrey, idea menghasilkan karya berkenaan tercetus daripada keinginannya untuk mengetengahkan sesuatu yang dekat dengan masyarakat Malaysia, berbanding menggunakan pendekatan yang lazim dikaitkan dengan sambutan kemerdekaan seperti bendera dan simbol patriotik.

“Saya mengambil konsep surat khabar ini sebab dahulu saya pernah menerbitkan satu pementasan teater berkisarkan surat khabar. Saya nampak perkara itu menarik untuk diketengahkan sebab apabila orang bercerita mengenai kemerdekaan, semuanya berkisar tentang bendera dan sebagainya. Jadi, saya mahu mengambil satu perkara yang seluruh masyarakat Malaysia tahu dan dekat dengan kehidupan mereka, iaitu surat khabar. Sebab itu saya mencadangkan konsep surat khabar ini,” katanya.

Surat Khabar Lama turut menampilkan barisan pelakon yang terdiri daripada pelakon berpengalaman dan bakat baharu, termasuk legenda seni tanah air, AR Badul selain Santesh dan personaliti media sosial, Wong Zoe Ji.

Raja Azrey berkata, pemilihan AR Badul dibuat kerana dia sudah lama menyimpan hasrat untuk bekerjasama dengan pelakon berkenaan, selain menganggap pengalaman dan kredibiliti dimilikinya mampu memberikan nilai tersendiri kepada karya tersebut.

Image from: Terlalu banyak kempen merdeka tentang bendera, saya angkat Surat Khabar Lama – Raja Azrey

“Apabila saya mendapat idea itu, saya terus kemukakan kerana memang sudah lama mahu memanggil AR Badul untuk terlibat dalam lakonan ini. Apabila saya letakkan namanya, mereka terus bersetuju kerana dia antara legenda yang kita ada.

“Pada masa sama, kita juga perlu menampilkan pelakon baharu dan personaliti media sosial seperti Santesh. Kita tahu dia pernah berlakon dalam filem sebelum ini, jadi saya rasa dia sesuai untuk watak tersebut. Selain itu, ada juga Wong Zoe Ji yang sangat popular di media sosial TikTok,” katanya.

Mengulas mengenai pengalamannya mengarahkan AR Badul yang juga mempunyai pengalaman sebagai pengarah, Raja Azrey mengakui proses berkenaan tidak berdepan sebarang kesukaran.

Malah, katanya, pelakon veteran itu cukup profesional dan menghormati tugas serta hasil kerja setiap anggota produksi.

“Tidak. Dia sangat mudah bekerjasama dan sangat profesional. Saya juga tidak berasa takut atau berdepan sebarang masalah kerana dia mempunyai satu sifat, iaitu sangat menghormati kerja orang lain.

“Dia juga sudah lama tidak berlakon dalam watak yang berat seperti ini. Sebelum ini, AR Badul lebih kerap dipanggil untuk menjayakan watak cameo dalam karya komedi dan sebagainya.

“Namun, apabila saya ceritakan jalan cerita ini, beliau tertarik dan mahu mencabar dirinya untuk melakukan sesuatu yang berbeza. Alhamdulillah, beliau berjaya melakukannya,” katanya.

Dalam pada itu, Raja Azrey berkata, keseluruhan proses penggambaran Surat Khabar Lama hanya mengambil masa sehari, bermula dari pagi hingga malam.

Katanya, beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur dipilih sebagai latar penggambaran, antaranya Jalan Kampung Attap dan kawasan sekitar Cheras.

“Sehari sahaja. Dari pagi sampai malam saya buat. Saya mengambil lokasi sekitar Kuala Lumpur, khususnya di sekitar Jalan Kampung Attap, manakala selebihnya di kawasan Cheras,” katanya.

The post Terlalu banyak kempen merdeka tentang bendera, saya angkat Surat Khabar Lama – Raja Azrey appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved