
Kota Kinabalu: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin (gambar) mengeluarkan kritikan pedas terhadap parti-parti tempatan dengan mendakwa mereka mempergunakan slogan ’Sabah untuk Rakyat Sabah’ sebagai sekadar umpan politik tanpa benar-benar bersatu demi kepentingan negeri.
Ketua Umno Sabah itu berkata terdapat sekurang-kurangnya 10 parti tempatan yang diiktiraf oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), namun ia dilihat tidak bersatu walaupun mendakwa memperjuangkan hak-hak Sabah.
“Hakikatnya mudah semua mahu berkuasa, bukan berkhidmat,” katanya dalam kenyataan.
Beliau mendakwa GRS adalah bukti bagaimana kononnya parti tempatan gagal membela rakyat, malah dibelenggu video yang mencemarkan integriti pentadbiran negeri.
“Slogan ‘Sabah for Sabahan’ dan ‘parti tempatan’ akhirnya hanya jadi perisai untuk menutup kelemahan dan tamak kuasa,” katanya.
Beliau berkata Sabah tidak memerlukan 10 parti untuk bersaing mendapatkan kerusi dan pengaruh, ia hanya memerlukan satu hala tuju yang jujur, stabil dan berpaksikan rakyat.
“Cukuplah Sabah jadi mangsa slogan politik. Yang rakyat mahu bukan laungan kosong tetapi kepimpinan yang bersih, berani dan berkhidmat,” kata Bung.
