Tiada sebab UMS, hospital tiada air: Shafie

LocalPolitics
16 Oct 2025 • 4:28 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Parti Warisan yakin mampu menyelesaikan masalah bekalan air di Sabah dalam tempoh setahun, dengan Presidennya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tetap berpegang kepada janjinya itu walaupun menerima kritikan daripada beberapa pemimpin.

“Apabila saya kata kita boleh atasi masalah air dalam masa setahun, saya maksudkan kemudahan kritikal seperti Universiti Malaysia Sabah (UMS), hospital dan kemudahan penting lain,” katanya.

“Saya tidak pernah kata kita akan selesaikan masalah air di seluruh Sabah dalam masa setahun. Itu tidak tepat.

“Keadaan ini amat membimbangkan. Pelancong yang menginap di hotel telah mengadu terpaksa menggunakan air mineral botol. Ini tidak boleh diterima untuk imej Sabah sebagai destinasi pelancongan.

“Saya yakin dengan pengurusan yang betul serta pendekatan yang tepat, cabaran bekalan air semasa dapat diatasi,” katanya.

Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali sebelum ini menolak dakwaan Warisan bahawa masalah air boleh diselesaikan dalam tempoh setahun, dengan menyifatkannya sebagai isu legasi lama yang sukar diselesaikan segera.

Shafie berkata penyelesaian sebenar terletak pada menaik taraf loji rawatan air sedia ada bukan membina infrastruktur baharu dari awal, dengan merujuk kepada kemudahan di Tawau, Sandakan, Telibong dan Tuaran yang sudah mempunyai kapasiti rawatan tetapi memerlukan peningkatan jumlah pengeluaran. Kemudahan loji rawatan air itu sudah ada. Kita hanya perlu tingkatkan kapasitnya. Masalah utama adalah pada pengagihan, paip bocor serta air tidak berhasil (NRW). Semua ini boleh ditangani dalam masa singkat,” katanya.

Shafie menegaskan isu pengurusan turut menyumbang kepada isu bekalan air ketika ini, dengan merujuk kepada dapatan audit yang menunjukkan peralatan penting seperti pam air, sistem CCTV dan sistem penggera bahan kimia tidak diselenggara dengan baik, sekali gus menjejaskan kebolehpercayaan bekalan air.

“Gangguan bekalan air di Sandakan baru-baru ini berlarutan lebih enam hari. Kenapa? Kerana masalah bekalan diesel, kerana syarikat tidak dibayar dan membawa perkara itu ke mahkamah. Ini adalah masalah yang boleh diurus,” katanya.

Shafie berkata semasa Warisan mentadbir kerajaan, tiada gangguan air berlaku di hospital atau hotel seperti yang sedang dialami ketika ini.

Beliau turut menggesa ketelusan dan kebertanggungjawaban, dengan mencadangkan agar satu kertas putih dibentangkan atau supaya Ketua Audit Negara menjalankan siasatan menyeluruh terhadap pengurusan air dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.

Katanya lagi, dengan pembubaran Dewan Undangan Negeri, pentadbiran semasa hanyalah kerajaan sementara dan tidak sepatutnya menandatangani sebarang kontrak baharu.

“Tidak sepatutnya ada kontrak tambahan diberikan kepada mana-mana syarikat pada waktu ini. Ini bukan lagi kerajaan penuh, tetapi hanya kerajaan sementara atau caretaker,” katanya.