
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun meninggal dunia selepas tertinggal di dalam kereta ibunya selama sembilan jam.
Difahamkan, kejadian terbabit berlaku pada semalam (27 Januari) di Jalan Tunku Hassan, Seremban, Negeri Sembilan.
Ibu sedar anak tertinggal dalam kereta ketika ingin pulang ke rumah
Ibu mangsa yang berusia 35 tahun bekerja di sebuah bank di kawasan tersebut hanya menyedari anaknya tertinggal di dalam kereta sebaik mahu pulang ke rumah.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, polis menerima maklumat kejadian daripada orang awam jam 6.15 petang.
“Hasil siasatan awal polis, mangsa didapati tidak sedarkan diri di kereta jenis Proton Saga. Mangsa dipercayai ditinggalkan sejak 8 pagi yang mana ibu mangsa terlupa untuk menghantarnya ke rumah pengasuh,” katanya dipetik Sinar Harian.
Ditinggalkan sejak 8 pagi, pukul 5 petang baru sedar anak dalam kereta
Menurutnya, perkara itu hanya disedari ibunya jam 5 petang setelah selesai waktu bekerja dan mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Hospital Tuanku Jaafar.
Kata Azahar, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Rembau untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001 dan ibu mangsa telah ditahan bagi membantu siasatan.
“Orang awam diminta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan sebarang maklumat boleh disalurkan kepada polis IPD Seremban di talian 06-6033222,” katanya.
Pekerja kedai pakaian bergegas keluar selepas terdengar jerita wanita
Dalam pada itu, seorang pekerja kedai pakaian yang ditemui di lokasi kejadian memaklumkan dia bergegas keluar selepas mendengari jeritan seorang wanita dari belakang premis tersebut.
“Saya dan rakan segera melihat apa yang berlaku dan dimaklumkan terdapat seorang kanak-kanak yang tidak sedarkan diri di dalam sebuah kereta.
“Ada kata ibu kanak-kanak itu bekerja di sebuah bank di situ dan dipercayai terlupa anaknya tertinggal di dalam kenderaan,” katanya pekerja itu.
View on Threads
