Terokai Dunia Penuh Keajaiban di 118 Mall Sempena Sambutan Perayaan Sulung

21 Nov 2026 • 1:09 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Terokai Dunia Penuh Keajaiban di 118 Mall Sempena Sambutan Perayaan Sulung

KUALA LUMPUR, 19 November 2026 – Dunia dongeng The Living Storybook kini menjadi kenyataan di 118 Mall, menjanjikan pengalaman penuh keajaiban buat para pengunjung!

Baru sahaja membuka pintunya pada 1 November 2026, destinasi beli-belah terbaharu di Kuala Lumpur ini mengajak pengunjung menyelami kemeriahan musim perayaan dalam suasana yang diinspirasikan daripada kisah dongeng, dengan tarikan istimewa hasil kerjasama bersama The LEGO Group: LEGO Santa’s Toy Factory.

Mulai hari ini sehingga 27 Disember 2026, The Atmosphere di Aras 4, 118 Mall tampil dengan suasana perayaan yang memukau, menghimpunkan dua dunia penuh keajaiban dalam ruang seluas 15,000 kaki persegi.

Pengunjung berpeluang menyelami dunia kisah dongeng yang dihiasi pelbagai dekorasi perayaan yang unik dan menarik, di samping meneroka kreativiti dan imaginasi tanpa batas menerusi aktiviti permainan LEGO yang menyeronokkan. Tarikan istimewa ini menjanjikan pengalaman bermakna buat seisi keluarga, tanpa mengira usia.

Image from: Terokai Dunia Penuh Keajaiban di 118 Mall Sempena Sambutan Perayaan Sulung

Berlatarkan kubah kaca spektakular berdiameter 88 meter, tarikan perayaan ini menampilkan pesona yang berbeza sepanjang hari.

Pada waktu siang, ruang ini diterangi cahaya matahari semula jadi yang menembusi kubah kaca, manakala menjelang malam, paparan visual berwarna-warni pada skrin LED menghidupkan suasana perayaan dengan penuh kemeriahan.

Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures, Dato’  Ir. Ts. (Dr.) Izwan Ibrahim, ketika berucap pada majlis pelancaran tarikan perayaan 118 Mall bersama media, berkata, “Sempena sambutan akhir tahun yang julung kali diadakan ini, kami ingin mempersembahkan sesuatu yang istimewa dan mampu mencetuskan imaginasi, di samping memberi peluang kepada pengunjung untuk menikmati kemeriahan musim perayaan bersama keluarga dan rakan-rakan dalam suasana unik di presint ikonik Merdeka 118.

"Sebagai sebuah destinasi bertaraf dunia, Merdeka 118 menawarkan lebih daripada sekadar pengalaman membeli-belah di 118 Mall. Kami berharap kunjungan ke pusat beli-belah ini turut membuka peluang kepada orang ramai untuk meneroka pelbagai tarikan lain di sekitar presint.

"Sambutan ini merupakan permulaan kepada lebih banyak detik istimewa yang bakal kami hadirkan di Merdeka 118 untuk dinikmati bersama, tanpa mengira usia.”

Image from: Terokai Dunia Penuh Keajaiban di 118 Mall Sempena Sambutan Perayaan Sulung

Sambutan Perayaan Menakjubkan: Sebuah Kisah Krismas

Setiap kisah dongeng bermula dengan sentuhan magis, dan di 118 Mall, pengembaraan ini bermula di The Living Storybook Portal. Pintu gerbang ini mengalu-alukan pengunjung ke sebuah dunia yang diinspirasikan daripada kisah dongeng kegemaran ramai, dihiasi helaian buku cerita bersaiz gergasi, dekorasi perayaan klasik serta pelbagai hiasan unik yang menarik untuk diabadikan dalam gambar.

Suasana ini menjadi latar yang cukup indah buat seisi keluarga merakam detik kemeriahan musim perayaan dan mencipta kenangan manis bersama.

Meneruskan pengembaraan, pengunjung akan melalui Canopy Walkway yang berkilauan, dihiasi deretan pokok perayaan yang menjulang tinggi, dedaunan menghijau serta aneka perhiasan berkilau, sebelum tiba di Giant Book Staircase.

Struktur tangga berbentuk buku gergasi yang cukup mengagumkan ini menjadi tarikan utama, sekali gus menawarkan sudut bergambar yang istimewa buat para pengunjung.

Pengembaraan diteruskan ke Enchanted Forest, dengan hiasan bertemakan alam semula jadi dan gemerlapan lampu yang mewujudkan suasana bak dunia fantasi.

Di sini, seisi keluarga boleh bergambar di atas Santa Sleigh yang dihiasi indah, manakala Wishing Tree setinggi 40 kaki tersergam megah sebagai simbol harapan dan kegembiraan sempena musim perayaan ini.

Image from: Terokai Dunia Penuh Keajaiban di 118 Mall Sempena Sambutan Perayaan Sulung

Bagi menambah kemeriahan sambutan, pengunjung turut berpeluang bertemu dan bergambar bersama Santa di Meet-and-Greet Corner serta mengasah kreativiti menerusi pelbagai bengkel aktiviti sempena Krismas.

Antara aktiviti yang disediakan termasuk membuat hiasan gantung Krismas bertemakan kisah dongeng, menghasilkan perhiasan Krismas daripada bahan kitar semula, membina miniatur perkampungan Krismas serta mereka cipta lampu hiasan daripada bahan terpakai.

Pengunjung boleh bertemu dan bergambar bersama Santa dan Santarina pada 28 November, 5 Disember dan 6 Disember, pukul 3:00 petang, serta pada 29 November, pukul 6:00 petang.

Bagi yang ingin menyertai bengkel kreatif, sesi akan diadakan pada 29 November, 5 Disember dan 6 Disember, pukul 4:00 petang.

Selain itu, pelbagai aktiviti menarik turut disediakan sepanjang musim Krismas untuk dinikmati bersama keluarga dan rakan-rakan.

Majlis pelancaran tarikan perayaan pada 19 November 2026 turut dimeriahkan dengan persembahan istimewa oleh 85 ahli koir daripada The Philharmonic Society of Selangor (The Phil), yang mengalunkan lagu-lagu Krismas dan menghidupkan suasana perayaan di The Atmosphere.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved