“RM3 je? Rumah ni tahun lepas bagi RM5 kan?”
Itulah realiti sekarang. Yang dulu biasa hulur RM5, kini jadi RM3. Yang sebelum ini mampu beri RM10, terpaksa turunkan ke RM5.
Bagi kanak-kanak, mereka mungkin pelik apabila orang yang sama, tetapi duit raya makin ‘kecil’.
Mereka belum faham, bukan pemberi berubah hati tetapi keadaan yang memaksa segalanya berubah.
Nampak kecil bezanya, namun itulah gambaran sebenar perubahan yang sedang berlaku dalam kehidupan ramai hari ini.
Kini, semakin ramai yang mula adjust duit raya. Bukan kerana kedekut, tetapi kerana keadaan menuntut kita untuk lebih berjimat cermat.
Kalau dulu, mengisi sampul duit raya tidak perlu difikir panjang. Rasa ingin memberi, terus sahaja dihulur. Malah, ada yang seronok berlumba-lumba menjadi paling ‘pemurah’.
Namun sekarang, pendekatannya jauh berbeza. Ramai yang mula membuat kira-kira terlebih dahulu.
Bajet makan, duit minyak, tol, kos balik kampung, lebih-lebih lagi apabila Aidilfitri jatuh selepas sesi persekolahan bermula.
Semua ini perlu dipertimbangkan sebelum menentukan jumlah duit raya.
Tambahan pula dengan realiti semasa yang semakin mencabar, ketidaktentuan ekonomi global, krisis di Asia Barat yang memberi kesan kepada harga minyak serta rantaian bekalan dan jangkaan kenaikan harga barangan.
Semua ini menjadikan ruang perbelanjaan semakin terhad dan memerlukan perancangan yang lebih teliti.
Sebab itu, apabila tiba soal duit raya, ramai memilih pendekatan yang lebih sederhana.
Ada yang menetapkan jumlah tertentu, ada yang mengehadkan penerima, semuanya demi memastikan kewangan tidak ‘lari’ selepas raya.
Dalam masa yang sama, cara kita melihat duit raya juga semakin berubah.
Jika dahulu nilainya sering diukur pada jumlah, kini semakin ramai mula memahami bahawa maknanya bukan pada angka semata-mata.
Sampul kecil tetap ada makna. Yang penting ialah ingatan dan keikhlasan.
Sebagai ibu bapa, tanamkan rasa syukur dalam diri anak-anak walau sekecil mana pun nilai duit raya diterima.
Terimalah dengan wajah manis, senyuman dan hati ikhlas selain mendoakan kebaikan kepada orang yang memberi.
Jangan pula dibandingkan rumah itu dapat duit raya banyak, rumah ini dapat sedikit.
Namun, lebih penting jadikan duit raya permulaan mendidik anak-anak tentang pengurusan kewangan.
Daripada menghabiskan semuanya, mereka wajar digalakkan untuk menyimpan sebahagian.
Dari situ, mereka belajar menghargai nilai wang dan memahami kepentingan merancang masa depan sejak usia muda.
Kesedaran ini penting, terutamanya apabila melihat realiti semasa.
Justeru, amalan menabung perlu dipupuk sejak kecil. Duit raya bukan sekadar untuk dibelanjakan, tetapi boleh menjadi permulaan kepada pembentukan tabiat kewangan yang lebih sihat dan berdisiplin dalam jangka panjang.
Memberi itu indah, tetapi mengurus kewangan dengan baik adalah lebih penting.
Raya memang masa untuk bergembira dan mencipta kenangan.
Namun apabila semuanya selesai, cara kita mengurus kewangan itulah yang menentukan sama ada kita tenang atau tertekan untuk tempoh yang lebih panjang.
Kerana akhirnya, raya bukan tentang siapa memberi paling banyak, tetapi tentang siapa yang tetap memilih untuk memberi walaupun sedikit.
*Nurkhairini Jumari ialah Sub Editor Sinar Harian


