
Seramai 10 orang rakyat Malaysia yang dilapor terperangkap di Himchal Pradesh berikutan banjir teruk yang melanda susulan limpahan Sungai Sutlej akibat hujan monsun disahkan selamat dan dijangka tiba di New Delhi.
Menurut Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan dua mangsa rakyat China dan British yang turut terperangkap juga selamat.
Perkara berkenaan disampaikan oleh Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi yang mengesahkan sudah dapat berhubung dengan salah seorang daripada 10 rakyat negara ini yang terperangkap tersebut dan mendapati mereka berada di Manali dalam keadaan selamat.

Berikutan perkembangan tersebut, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi akan berusaha untuk membawa keluar kumpulan berkenaan hari ini dan sekiranya rancangan evakuasi berjalan lancar, kumpulan berkenaan juga dijangka mengambil penerbangan pulang ke Malaysia pada hari yang sama.
Dalam masa yang sama, kementerian berkenaan mengucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa India atas kerjasama dan bantuan segera yang diberikan dalam usaha untuk mengesan semua rakyat Malaysia.

Terdahulu, Wisma Putra telah mengeluarkan kenyataan tentang pihak mereka sedang menyelaras usaha dengan pihak berkuasa tempatan susulan laporan berhubung sekumpulan rakyat Malaysia masih tidak dapat dihubungi oleh ahli keluarga masing-masing berikutan fenomena hujan lebat yang melanda Wilayah Utara India tersebut.
Menurut kenyataan terbabit, kumpulan rakyat Malaysia ini sedang menyertai ekspedisi pengembaraan di Hampta Pass, Himacal Pradesh ketika hujan mosun lebat yang menyebabkan banjir dan tanah runtuh di beberapa bahagian utara India, di mana Himachal Pradesh merupakan negeri yang paling teruk terjejas itu berlaku.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

