

Gara-gara tersilap tekan pedal minyak, seorang pekerja cuci kereta warga Afghanistan parah selepas kereta pelanggan yang dipandunya melanggar tembok sebelum terjunam dari tempat letak kereta di tingkat tiga sebuah pangsapuri servis, di Jalan Klang Lama, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa, berkata kejadian membabitkan sebuah kereta jenis Toyota Camry yang dipandu lelaki warga Afghanistan berusia 23 tahun.
"Siasatan awal mendapati lelaki yang bekerja sebagai pencuci kereta itu dipercayai hilang kawalan ketika mahu meletakkan kenderaan milik pelanggan selepas dicuci.
"Dia dipercayai tersilap menekan pedal minyak menyebabkan kenderaan itu melanggar tembok dan terjatuh dari tingkat tiga sebelum menghempap dua kenderaan lain, iaitu Proton Iriz dan Perodua Myvi yang diparkir di bawah bangunan terbabit," katanya ketika dihubungi Bernama.
Mujur, ketika kejadian, kedua-dua pemilik kereta berkenaan tiada di dalam kenderaan terbabit.
Di sebalik kejadian ini, penulis sememangnya akan membantu pekerja cuci kereta setiap kali untuk mengalihkan kenderaan untuk dilap kerana rata-rata pekerja cuci kereta yang merupakan warga asing dilihat sukar untuk mengendalikan kereta terutama kereta manual.
Apa pula pengalaman anda? Kongsikan.


