
ALOR SETAR – Langkah pencegahan kritikal perlu dilaksanakan termasuk memperketat pemantauan pembungkusan produk dan penguatkuasaan bagi mengehadkan kandungan nikotin serta penjualan uncang beraneka perisa.
Pegawai Farmasi (Penyelaras Bidang Kawalan Tembakau) Pusat Racun Negara, Universiti Sains Malaysia, Sulastri Samsudin berkata, tindakan itu penting bagi mencegah minat kanak-kanak dan golongan bawah umur terhadap produk berkenaan.
“Uncang nikotin bukanlah gula-gula atau penyegar mulut, sebaliknya ia adalah sistem penyampaian bahan kimia toksik yang direka untuk memanipulasi otak.
“Jangan gadaikan masa depan dan kesihatan hanya untuk trend sementara, jangan pernah mencubanya,” katanya kepada Kosmo! Ahad baru-baru ini.
Ujarnya, ahli keluarga, pakar kesihatan dan orang awam harus lebih berwaspada terhadap produk tersembunyi yang berpotensi membahayakan nyawa itu.
“Masih ramai rakyat Malaysia yang tidak sedar dengan kewujudan produk baharu ini khususnya ibu bapa dan juga petugas kesihatan. Kesedaran awal tentang risiko bahaya uncang nikotin adalah penting untuk mencegah daripada berlakunya keracunan nikotin,” ujarnya.
Jelasnya, kanak-kanak dan remaja lebih berisiko sekiranya terdedah kepada uncang nikotin kerana dua faktor utama iaitu fisiologi atau berat badan dan perkembangan otak.
“Kanak-kanak mempunyai berat badan yang lebih rendah daripada orang dewasa. Oleh itu, mereka mudah untuk mencapai dos toksik berbanding dewasa. Satu uncang sudah cukup untuk menyebabkan keracunan teruk.
“Data kes keracunan di Amerika Syarikat merekodkan kanak-kanak yang tertelan uncang nikotin berdepan risiko 1.5 kali ganda lebih tinggi untuk mengalami kesan kesihatan yang serius berbanding jika mereka tertelan formulasi produk nikotin lain,” jelasnya.
Ujarnya, bahkan, kanak-kanak juga berisiko 2.0 kali ganda lebih tinggi untuk ditahan di wad hospital bagi tujuan perubatan.
“Bagi aspek perkembangan otak pula, otak manusia terus berkembang khususnya di bahagian prefrontal cortex yang mengawal pembuatan keputusan dan tindak balas sehingga umur 25 tahun.
“Pendedahan nikotin pada fasa ini boleh merubah struktur otak secara kekal, mengurangkan daya tumpuan dan menjadikan mereka lebih mudah terdedah kepada ketagihan dadah lain di masa hadapan,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE
The post ‘Tertelan satu uncang pun sudah parah’ appeared first on Kosmo Digital.

