Teruja kali pertama dapat tunaikan zakat fitrah sendiri

LocalFamily & Parenting
14 Mar 2026 • 1:45 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Dr Asmadi mengajar penghuni rumah kebajikan itu membayar zakat fitrah pada program Jom Bayar Zakat Fitrah di rumah kebajikan itu di sini pada Sabtu.

KUANTAN – Pengalaman pertama kali berurusan secara langsung dengan amil memberi keterujaan kepada penghuni Rumah Kanak-Kanak Sultanah Hajjah Kalsom apabila berpeluang menunaikan zakat fitrah sendiri pada tahun ini.

Salah seorang penghuni yang dikenali sebagai Anis, 18, berkata, peluang itu dimanfaatkan untuk mempelajari tatacara pembayaran zakat yang betul sebagai persediaan apabila berdikari kelak.

Dia mengaku tidak berasa gementar ketika menyerahkan wang tunai sebanyak RM8 kepada amil yang bertugas di kaunter khas di pusat berkenaan.

“Tahun lepas ada juga program seperti ini, tetapi kami hanya melihat sahaja.. tapi kali ini bila dapat bayar sendiri, rasa sangat seronok kerana ia memberi pengalaman baharu.

“Ilmu ini penting supaya apabila berada di luar nanti saya sudah tahu apa yang perlu dilakukan. Malah, saya juga boleh berkongsi pengetahuan ini dengan rakan-rakan lain yang mungkin belum tahu cara membayarnya,” katanya ketika ditemui selepas program Jom Bayar Zakat Fitrah di rumah kebajikan itu di sini pada Sabtu.

Program tersebut dihadiri Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Dr Asmadi Abdul Rahman bersama empat amil bagi membantu 100 penghuni cara membayar zakat.

Seorang lagi penghuni mahu disapa, Yusof, 12, turut seronok apabila diberi peluang menunaikan zakat fitrah sendiri pada tahun ini.

"Kali ini saya dapat cuba dan dapat memahami tanggungjawab sebenar sebagai seorang Muslim," ujarnya ringkas.

Sementara itu, Dr Asmadi berkata, program itu dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran dan kefahaman mengenai kewajipan rukun Islam keempat dalam kalangan penghuni sama ada mereka mempunyai waris mahupun waris yang tidak dapat dikesan.

Menurutnya, mereka ini mempunyai pendapatan sendiri melalui peruntukan harian termasuk mereka yang tidak mempunyai waris.

Beliau berkata, anak-anak berkenaan digalakkan mengumpul wang sebanyak RM8 bagi menunaikan zakat fitrah atas nama sendiri.

“Kita mahu memberi pendedahan awal supaya apabila mereka mencecah usia 17 atau 18 tahun dan keluar dari institusi ini kelak, mereka sudah memahami bahawa setiap Ramadan ada tanggungjawab yang perlu ditunaikan.

“Sebelum ini bayaran zakat mereka diuruskan oleh ahli lembaga pelawat, namun kali ini mereka dididik menggunakan peruntukan sendiri yang diterima bagi memberi kesedaran sejak usia sembilan tahun lagi,” jelasnya.

Menjawab persiapan Aidilfitri penghuni rumah kebajikan itu, Dr Asmadi berkata, seramai 200 penghuni bakal diraikan dalam suasana meriah.

Ujarnya, walaupun kira-kira 100 daripada mereka tidak mempunyai waris, pihak pengurusan tetap memastikan kebajikan mereka terpelihara melalui penganjuran majlis raya dan pemberian kelengkapan baharu.

“Alhamdulillah, bagi persiapan baju raya, kita menerima tajaan daripada pelbagai pihak termasuk sebuah pasar raya yang merupakan antara pembayar zakat utama," jelasnya.