
PETALING JAYA: Keluarga rakyat Malaysia yang masih gagal dikesan susulan tragedi banjir kilat dan tanah runtuh di Nepal terus menaruh harapan agar insan tersayang berada dalam keadaan selamat biarpun terpaksa menanti khabar dalam penuh ketidakpastian.
Sebalik ketidaktentuan mengenai nasib mereka ekoran keadaan di lokasi bencana yang sukar dilalui menyebabkan keluarga hanya mampu menanti dengan doa di samping berharap setiap usaha pencarian membawa khabar gembira yang dinanti-nantikan.
Bagi keluarga, setiap deringan telefon kini dinanti dengan penuh debar dan berharap panggilan yang diterima membawa khabar mengenai keselamatan insan tersayang yang masih gagal dikesan.
Antara yang masih menaruh harapan ialah Hani Othman, isteri kepada pegawai latihan Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Tengah, Mohd. Fakhrul Munir yang kini berada di Nepal bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai operasi pencarian suaminya.
Menurut Hani, dia tiba di negara itu dengan bantuan seorang kenalan rakyat tempatan yang turut membantunya mendapatkan perkembangan terkini mengenai operasi menyelamat.
Namun begitu katanya, masih belum dapat dipastikan sama ada terdapat rakyat Malaysia dalam kalangan mangsa yang terselamat berikutan kebanyakan dokumen pengenalan mangsa turut hilang dalam bencana berkenaan.
“Malah mangsa yang terselamat kini perlukan bantuan kerana kehilangan tempat tinggal selain terpaksa berdepan cuaca sejuk.
“Kebanyakan mereka dikatakan berada di lereng-lereng bukit tanpa tempat perlindungan yang sempurna,” katanya kepada Mingguan Malaysia, semalam.

Mohd. Fakhrul adalah antara rakyat Malaysia yang sebelum ini dilaporkan gagal dihubungi susulan kejadian banjir kilat dan tanah runtuh di Nepal.
Runtuhan glasier besar-besaran dan tanah runtuh dipercayai menjadi punca banjir kilat dahsyat yang melanda sempadan Nepal-China pada Rabu, menurut siasatan awal sekumpulan saintis.
Bencana itu menenggelamkan bandar, jalan raya dan jambatan, selain meragut banyak nyawa apabila arus deras membawa bersama ais dan batuan merempuh kawasan pergunungan.
Dalam pada itu, Hani berkata, hasratnya bukan sekadar mencari suami, malah membantu mengesan rakan-rakan suaminya yang turut terputus hubungan.
“Sebagai rakyat Malaysia, saya akan cuba sedaya upaya. Daripada saya hanya duduk di rumah tanpa melakukan apa-apa, lebih baik saya cuba membantu.
“Kalau boleh, saya bukan sahaja mahu mencari suami saya, tetapi juga mahu mencari mereka. Saya mahu mereka semua dalam keadaan selamat,” katanya. – UTUSAN
The post Terus berdoa rakyat Malaysia selamat appeared first on Utusan Malaysia.






