Tetamu ALLAH hayati al-Quran di Arafah

21 May 2026 • 9:40 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tetamu ALLAH hayati al-Quran di Arafah
Wan Muhammad Mior Ismail

SHAH ALAM - Amani Travel Sdn Bhd selaku rakan strategik Warisan Ummah Ikhlas Foundation (WUIF) bersedia melaksanakan program Arafah #QuranHour sempena Hari Arafah 1447H di Tanah Suci yang berlangsung pada 26 Mei ini.

Pengarah Urusan Amani Travel Sdn Bhd, Wan Muhammad Mior Ismail berkata, Arafah #QuranHour merupakan pendekatan yang sesuai dan tepat pada masanya memandangkan jemaah haji dalam keadaan lembut hati untuk menerima segala saranan serta tazkirah apatah lagi berkaitan dengan tadabbur al-Quran.

Menurutnya, apatah lagi tema The Chosen One sangat menyentuh hati kerana bukan semua orang dipilih menjadi tetamu ALLAH.

"Ia mengingatkan kita bahawa peluang berada di Tanah Suci adalah satu pilihan dan jemputan daripada ALLAH SWT sendiri. Insya-ALLAH pihak Amani Travel akan melaksanakan program tersebut di Mina semasa hari Tarwiyah dan pada 9 Zulhijjah iaitu hari Arafah sebelum jemaah haji mula berwukuf.

"Bila kita rasa diri dipilih, kita akan lebih menghargai setiap ibadah, lebih bersungguh-sungguh memahami al-Quran dan lebih takut untuk mensia-siakan peluang yang ALLAH berikan.

"Dalam masa sama ia memberi kesedaran bahawa dipilih bukan bermaksud sudah sempurna, tetapi dipilih untuk berubah menjadi lebih baik," ujarnya kepada Sinar Harian.

Arafah #QuranHour 2026 boleh disaksikan secara langsung melalui Facebook dan YouTube QuranHour, My #QuranTime serta Sinar Harian pada jam 5 hingga 6 petang, 26 Mei 2026 (9 Zulhijah 1447H).

Untuk pelaksanaan secara fizikal di Arafah dan Makkah akan dijalankan melalui beberapa agensi iaitu Tabung Haji HQ, Tabung Haji Travel & Tours, Amani Travel, Juara Travel, Andalusia Travel dan Zahafiz Travel & Tours.

Tambah Wan Muhammad, diharapkan seluruh umat Islam khususnya alumni haji dan umrah bersama Amani Travel agar menjadikan Arafah #QuranHour sebagai satu gerakan penyatuan ummah.

Jelasnya, jangan biarkan semangat yang diperoleh di Tanah Suci terhenti selepas pulang tetapi terus hidupkan al-Quran dalam keluarga, masyarakat dan kehidupan harian.

"Pada tahun ini kami menguruskan secara 610 orang jemaah haji dan alumni Amani Travel berjumlah 1,000 orang setelah 3 tahun beroperasi sbg Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang dilantik oleh pihak Lembaga Tabung Haji.

"Kami melihat kolaborasi ini sebagai satu usaha yang sangat baik dalam menyatukan industri, masyarakat dan gerakan al-Quran demi ummah.

"Warisan Ummah Ikhlas Foundation berjaya membawa pendekatan dekat dengan masyarakat melalui kempen #QuranHour," ujarnya.