
JAKARTA – Jurulatih pasukan Indonesia bawah 17 tahun, Bima Sakti mengakui kesalahannya dalam mengatur strategi pemain dalam Kelayakan Piala Asia B-17 tahun semalam.
Menurut CNN Indonesia, Bima Sakti mengatakan faktor kekalahan skuadnya disebabkan kepenatan kerana hanya mempunyai waktu berehat sehari sahaja sebelum kembali bertanding.
Ia sedar kesalahannya kerana tidak menurunkan pemain di barisan kedua untuk berlawan menentang Guam.
“Boleh jadi mereka kepenatan dan itu kesalahan saya juga kerana tidak menurunkan pemain di barisan kedua untuk menentang Guam,” katanya.
Bima mengatakan keputusan menurunkan skuad utama melawan Guam adalah disebabkan rancangannya untuk memastikan skuadnya layak untuk perlawanan pertama.
Hasilnya skuad Garuda Asia berjaya membelasah Guam 14-0.
“Kami mengambil langkah selamat iaitu pada separuh masa kedua menentang Guam, kami hanya melakukan empat pertukaran pemain.
“Jadi, pemain kepenatan ketika menentang Malaysia juga boleh menjadi punca dan kesalahan bagi kami,” katanya.
Dalam kenyataan yang sama, Bima Sakti menyampaikan permohonan maaf selepas dikalahkan oleh Malaysia kerana tidak dapat memberikan keputusan yang memberangsangkan pada perlawanan penentuan bagi melayakkan diri secara automatik ke pusingan akhir Piala Asia B-17.
Kekalahan itu menjadikan Indonesia sekadar menduduki tempat kedua terakhir dalam Kumpulan B dan membuatkan Arkhan serta rakan-rakannya terpaksa bergantung harap kepada keputusan perlawanan pasukan lain untuk mendapatkan tiket Piala Asia.
“Saya memohon maaf kepada semua peminat bola sepak Indonesia atas keputusan yang kurang memuaskan ini dan sememangnya kami juga kecewa dan sedih,” kata Bima.

Imbas kembali perlawanan malam tadi, skuad negara menampilkan aksi garang dengan mendahului jaringan pertama seawal minit ke-17 oleh Zainurhakimi Zain.
Malaysia tidak menunggu lama untuk terus merobek gawang Indonesia apabila gol kedua dijaringkan Arami Wafiy Zakimi tiga minit kemudian.
Jaringan pantas Anjasmirza Saharudin pada minit ke-23 pula sekali gus membuatkan skuad negara mendahului perlawanan dengan keputusan selesa 3-0.
Serangan bertali-arus Harimau Muda terus bergasak apabila Afiq Danish Zulkifli melakukan jaringan keempat negara pada minit ke-26.
Kegarangan skuad negara terhenti seketika apabila Zainurhakimi dijatuhkan lawan, namun Arami Wafiy mahir menggunakan peluang yang ada dengan menyumbang gol penalti pada minit ke-38.
Harimau Muda selesa mendominasi perlawanan sehingga penghujung separuh masa kedua sebelum Arkhan Kaka Putra membuat kejutan jaringan tunggal pada masa kecederaan.
Bagaimanapun jaringan tunggal skuad Bima Sakti itu tidak mengubah apa-apa rentak permainan dan keputusan 5-1 kekal hingga ke wisel penamat.
Kemenangan bersejarah itu menyaksikan skuad B-17 negara bakal beraksi di pentas Piala Asia 2023 bersama 16 pasukan gergasi terbaik Asia seperti Republik Korea, Jepun, Arab Saudi, Vietnam, Thailand dan lain-lain.
Sumber: CNN Indonesia
The post Tewas 1-5, Bima Sakti Mengaku Salah Strategi appeared first on Siakap Keli.
