MAKKAH – Lembaga Tabung Haji (TH) kini mengorak langkah proaktif dengan menyepadukan teknologi kecerdasan buatan (AI) ke dalam sistem perkhidmatannya bagi memastikan kebajikan dan kelancaran ibadah jemaah Malaysia kekal pada tahap cemerlang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, langkah itu bukan sahaja memperkasakan pengoperasian haji, malah bertujuan mengangkat pengurusan haji negara sebagai penanda aras kepada dunia.
Menurut beliau, salah satu inovasi utama yang diperkenalkan ialah penggunaan teknologi AI melalui sistem e-TAIB yang berfungsi membantu jemaah menjawab pelbagai persoalan berkaitan hukum-hakam.
“Kita mengintegrasikan AI dalam sistem hukum-hakam seperti e-TAIB yang membolehkan AI menjawab pelbagai persoalan, namun ia tetap dipantau rapi oleh para pakar rujuk syariah kita,” katanya kepada media selepas sesi taklimat perkembangan perjalanan haji di sini baru-baru ini.
Sentuhan manusia tetap diutamakan
Walau bagaimanapun, Dr Zulkifli menegaskan bahawa kecanggihan teknologi tersebut tidak meminggirkan aspek kemanusiaan atau ‘human touch’ yang menjadi nadi perkhidmatan TH selama ini.
Beliau menjelaskan, TH tetap menyediakan barisan kaunselor, pembimbing haji serta pakar rujuk untuk berinteraksi secara bersemuka dengan jemaah bagi memastikan keperluan emosi dan bimbingan rohani mereka terjaga.
“Kita mengambil kira keperluan manusia menerusi sentuhan keinsanan yang dibawa menerusi pasukan pembimbing dan kaunselor,” jelasnya lagi.
Indeks kepuasan jemaah 93 peratus
Dalam pada itu, Dr Zulkifli mendedahkan bahawa komitmen berterusan TH telah membuahkan hasil apabila indeks kepuasan jemaah (Satisfaction Index) kini mencecah tahap yang sangat membanggakan iaitu 93 peratus.
Katanya, pencapaian itu adalah hasil daripada ekosistem pengurusan yang mantap, bermula daripada kursus haji yang menyeluruh di tanah air sehinggalah kepada inisiatif di Tanah Suci seperti Pasukan Semut Hitam.
“Tahap kepuasan sangat tinggi, namun TH tidak berpuas hati dan sentiasa melakukan penilaian serta post-mortem setiap tahun bagi meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan tersebut,” katanya.
Persiapan hadapi cuaca ekstrem
Menyentuh mengenai persediaan fasa Masyair, Dr Zulkifli berkata, pelbagai infrastruktur canggih telah disediakan termasuk penggunaan khemah penebat haba dan penyediaan sofa bed untuk keselesaan jemaah.
Jelasnya, TH juga bekerjasama rapat dengan pakar perubatan dan pihak berkuasa Arab Saudi bagi mengatur langkah mengurangkan risiko strok haba berikutan suhu tinggi yang dijangkakan di Masyair.
“Semua telah diatur dengan teliti termasuk nasihat bimbingan kesihatan dan kemudahan bas percuma 24 jam ke Masjidil Haram bagi memudahkan urusan tetamu ALLAH,” katanya.
Beliau turut menyifatkan setiap cabaran yang timbul sebagai ruang untuk penambahbaikan bagi memastikan tanggungjawab memberikan perkhidmatan terbaik kepada Dhuyufurrahman dapat ditunaikan dengan sempurna.






