
KUALA LUMPUR: Prestasi gemilang Tabung Haji (TH) sejak penubuhannya hampir tersungkur disebabkan keterlanjuran, tamak haloba, tarikan nafsu serakah yang memusnahkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, institusi bersejarah itu juga tercemar akibat kecuaian dan tidak menjaga institusi termasuk aspek kewangannya.
Bagaimanapun, katanya, beliau bersyukur kerana krisis melanda Tabung Haji yang diilhamkan oleh Profesor Diraja Allahyarham Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid itu dapat dikesan lebih awal dan dipulihkan kepada matlamat asalnya.
“Tabung Haji sebuah gedung mewah, institusi yang punya sejarah gemilang, diusulkan oleh seorang pejuang, pemikir, sarjana ulung, Profesor Diraja Ungku Aziz, dan mencatat prestasi gemilang, memberi khidmat kepada ratusan ribu jemaah.
“Tetapi hampir tersungkur kerana kecuaian, tidak menjaga institusi termasuk aspek kewangannya kerana ketelanjuran, tamak haloba dan tarikan nafsu serakah yang memusnahkan.
“Alhamdulillah, dapat dikesan awal dan dipulihkan. Saya yakin institusi Tabung Haji itu akan terus cemerlang,” katanya dalam ucapannya ketika merasmikan Ibu Pejabat Maybank di Menara Merdeka Maybank, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Pengerusi Maybank, Tan Sri Ir. Zamzamzairani Mohd. Isa; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Pengerusi Permodalan Nasional Bhd. (PNB), Raja Tan Sri Arshad Raja Uda; serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Seri Khairussaleh Ramli.
Semalam, Jemaah Menteri bersetuju bahawa Laporan RCI mengenai TH diklasifikasikan semula dan didedahkan pada hari ini, selepas diberi taklimat oleh pengurusan tertinggi TH dan memperhalusi laporan dari 2014 hingga 2020.
Jemaah Menteri memutuskan siasatan penuh oleh badan-badan penguatkuasaan berdasarkan laporan ini akan diteruskan serta-merta, dan pihak-pihak terbabit akan dibawa ke muka pengadilan sekiranya wujud sebarang pelanggaran undang-undang
Dalam memberi ingatan kepada institusi kewangan di negara, Perdana Menteri berkata, integriti berpaksikan tatakelola yang baik akan melahirkan golongan profesional, berkemahiran dan berkepakaran yang mempunyai integriti serta bermaruah.
Katanya, pada masa kini, institusi kewangan dunia termasuk di Malaysia tidak terlepas daripada bergelut dengan isu permasalahan integriti, tata kelola dan pengurusan yang amanah.
“Lebih mudah dipaparkan sebagai slogan atau retorika, tapi lebih sukar mengamalkannya kerana tabiat manusia itu kalau tidak diperingatkan, sering kali mudah terjebak dengan tarikan-tarikan yang akan memusnahkan nilai moral, akhlak peribadi, keluarga, masyarakat dan negara,” katanya. – UTUSAN
The post TH hampir tersungkur akibat tamak haloba – PM appeared first on Utusan Malaysia.



