
PETALING JAYA – Lembaga Tabung Haji (TH) menafikan beberapa iklan jawatan kosong di seluruh negara dan sesi temu duga secara terbuka seperti yang tular di media sosial dan mengesahkan ia adalah palsu.
Menerusi hantaran di Threads, TH memaklumkan, pihaknya mengesan banyak iklan palsu menggunakan nama dan logo agensi tersebut bagi memperdaya orang ramai.
Katanya, pihak TH tidak menawarkan sebarang peluang pekerjaan melalui nombor telefon peribadi, kod QR atau kaedah lain seperti yang dipaparkan dalam iklan-iklan berkenaan.
“Ini semua palsu dan tidak benar. TH mengesan pelbagai iklan jawatan kosong palsu yang tersebar di media sosial.
“TH tidak menawarkan peluang pekerjaan melalui nombor telefon peribadi atau kod QR. Sila rujuk saluran rasmi LinkedIn bagi peluang pekerjaan dan laman web TH untuk sebarang pengesahan,” katanya.
Sehubungan itu, TH menasihatkan orang ramai supaya tidak berkongsi maklumat peribadi kepada pihak ketiga yang tidak dikenali bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.
Dalam masa sama, TH memaklumkan akan terus memantau penyebaran kandungan palsu dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pemilik akaun yang memuat naik atau menyebarkan iklan tidak benar menggunakan nama institusi itu.
Terdahulu, tular beberapa poster di media sosial mengenai jawatan kosong diiklankan menggunakan logo TH.
Difahamkan, modus operandi yang digunakan adalah individu yang memuat naik poster tersebut akan meminta orang ramai memohon menggunakan pautan atau kod QR yang diletak pada hantaran tersebut.
Apabila menekan pautan itu, pengguna akan masuk ke sebuah laman sesawang sebelum dikehendaki memasukkan nombor telefon dan kata laluan aplikasi Telegram. – KOSMO! ONLINE
The post TH nafi lambakan poster jawatan kosong tular di media sosial appeared first on Kosmo Digital.






