TH salur RM10.3 juta bantu usahawan asnaf dan B40 sejak 2020

LocalBusiness & Finance
15 Oct 2025 • 12:57 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

TH salur RM10.3 juta bantu usahawan asnaf dan B40 sejak 2020

image is not available

15/10/2025 - 12:57

KUALA LUMPUR 15 Okt – Lembaga Tabung Haji (TH) terus memperkukuh peranannya dalam memperkasakan ekonomi ummah apabila menyalurkan sebanyak RM10.3 juta setakat ini menerusi Sadaqa House, satu inisiatif kewangan sosial oleh Bank Islam Malaysia Berhad yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Daripada jumlah itu, RM3.8 juta telah disalurkan pada tahun ini sahaja yang memberi manfaat kepada lebih 1,000 usahawan mikro daripada golongan asnaf dan B40 di seluruh negara.

Bantuan tersebut membantu mereka dalam menjalankan perniagaan serta meningkatkan taraf hidup yang lebih baik.

Dana berkenaan menyokong pelaksanaan iTEKAD Entrepreneur Development Programme yang telah menjana kesan berganda dengan membuka akses pembiayaan melebihi RM12 juta menerusi struktur dana pusingan.

Menurut TH, dana itu digunakan bagi pelbagai inisiatif termasuk pembiayaan mikro tanpa faedah berasaskan qardhul hasan (pinjaman kebajikan), geran perniagaan kepada usahawan mikro asnaf, latihan keusahawanan, bimbingan perniagaan serta kajian impak bagi meningkatkan keberkesanan program iTEKAD.

Sejak 2020, lebih 35% peserta iTEKAD BangKIT melibatkan 341 usahawan mikro berjaya meningkatkan pendapatan isi rumah mereka dalam tempoh setahun selepas menyertai program berkenaan.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, inisiatif ini selari dengan visi TH sebagai sebuah institusi Islam yang bukan sekadar menguruskan simpanan dan operasi haji, malah turut memainkan peranan dalam pemerkasaan ekonomi ummah.

“Pembangunan ummah perlu dilihat secara menyeluruh, bukan hanya melalui ibadah, tetapi juga dengan memperkukuh keupayaan kewangan.

“Sumbangan ini adalah pelaburan sosial jangka panjang demi kesejahteraan masyarakat dan keberkatan bersama,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Kewangan Sosial Kumpulan Bank Islam, Mohd Nazri Chik berkata, peranan TH sebagai pemegang saham terbesar menjadi pemangkin utama kejayaan Sadaqa House.

“Komitmen TH membolehkan kami memperkasakan instrumen kewangan sosial Islam seperti sedekah dan zakat sebagai penyelesaian kewangan inklusif serta mampan,” katanya. - BERNAMA

standard