
KENINGAU: Tekun Nasional, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop), menyalurkan pembiayaan sebanyak RM109 juta kepada 4,675 usahawan di seluruh Sabah dalam tempoh Januari hingga September tahun ini.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata daripada jumlah itu, Parlimen Keningau menerima RM8.6 juta pembiayaan untuk 444 usahawan Tekun dalam tempoh yang sama.
“Jumlah ini telah melepasi sasaran awal bagi tahun 2025. Secara keseluruhan, sejak Tekun Nasional ditubuhkan pada 1998 hingga September 2025, sebanyak RM1.26 bilion telah disalurkan kepada 67,248 usahawan di Sabah,” katanya pada Majlis Ramah Mesra Usahawan Tekun Nasional yang diadakan di Dewan Tomuan Aki Taingadon, Tamu Pekan Bingkor, Selasa.
Menurutnya, kerajaan sentiasa menekankan kepentingan usahawan kecil dan sederhana (PKS) serta industri mikro sebagai tulang belakang pembangunan ekonomi negara, terutama di Sabah yang kaya dengan potensi keusahawanan.
“Usahawan bukan sahaja menjana pendapatan untuk diri dan keluarga, tetapi turut membuka peluang pekerjaan serta menggerakkan ekonomi komuniti setempat,” katanya.
Beliau berkata Belanjawan 2026 bertemakan “Belanjawan Rakyat” yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menunjukkan komitmen kerajaan untuk terus menyokong usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“Sebanyak RM2.5 bilion diperuntukkan kepada agensi seperti Tekun Nasional dan Bank Simpanan Nasional (BSN) bagi kemudahan serta jaminan pembiayaan usahawan mikro,” jelasnya.
Ewon berkata di bawah Tekun Nasional sahaja, kerajaan memperuntukkan RM550 juta untuk kemudahan pembiayaan kepada peniaga kecil, termasuk RM50 juta bagi Skim Pembiayaan Usahawan Masyarakat India (SPUMI).
Dalam konteks Sabah, katanya, Kuskop bersama Tekun Nasional terus melaksanakan pelbagai inisiatif bersesuaian dengan sosioekonomi tempatan, antaranya Skim Pembiayaan Usahawan Tamu (SPUT) yang diwujudkan untuk membantu penjaja dan peniaga di pasar tamu.
Sejak skim itu diperkenalkan pada 2023 hingga 5 September 2025, sebanyak RM9.8 juta telah disalurkan kepada 2,294 usahawan di seluruh Sabah.
“Ini bukti komitmen Tekun Nasional memperkasa ekonomi rakyat luar bandar melalui pembiayaan mikro,” katanya.
Ewon turut menyeru lebih ramai usahawan tempatan di Bingkor dan kawasan sekitar merebut peluang memohon pembiayaan di bawah skim Tekun seperti Skim Pembiayaan Informal & Mikro (SPIM) dan SPUT.
“Kejayaan perniagaan bukan hanya bergantung kepada modal, tetapi juga ilmu dan kemahiran keusahawanan. Sertailah program latihan dan bimbingan yang disediakan oleh agensi di bawah Kuskop,” tambahnya.


