TH salur RM4.5 juta zakat bina masjid, surau seluruh negara

LocalPolitics
3 May 2026 • 3:13 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: TH salur RM4.5 juta zakat bina masjid, surau seluruh negara

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) menyalurkan zakat berjumlah RM4.5 juta melalui Program Musolla TH sejak 2023, membina dua masjid dan sembilan surau di lapan negeri termasuk Sabah dan Sarawak, demi memperkukuh syiar Islam serta kemudahan masyarakat.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad, berkata komitmen itu dizahirkan sebagai institusi Islam yang melaksanakan zakat bagi pihak pendeposit, sekali gus memperkasakan pembangunan ummah melalui pelbagai program wakalah.

“Masjid dan surau bukan sekadar tempat ibadah, tetapi pusat penyatuan masyarakat, mengukuhkan ukhuwah dan menjadi medium utama memperkasakan syiar Islam,” katanya ketika merasmikan Surau Al-Hajj di Taman Koperat Putera, Kampung Seberang, Jertih hari ini.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.

Bagi tahun 2025, TH memperuntukkan RM1 juta untuk pembinaan dua surau baharu — RM500,000 bagi Surau Al-Hajj di Terengganu dan RM500,000 lagi untuk surau di Bario, Sarawak.

Mustakim berkata, surau baharu di Terengganu akan memberi manfaat kepada lebih 550 ahli kariah dan penduduk setempat.

“Jika sebelum ini tiada surau berdekatan, saya percaya kemudahan ini akan memudahkan ibadah, majlis ilmu dan mengeratkan silaturahim,” katanya.

Mustakim menegaskan TH akan terus melaksanakan lebih banyak program zakat berimpak tinggi bagi memastikan golongan sasaran menerima manfaat secara langsung. - 3 Mei, 2026

The post TH salur RM4.5 juta zakat bina masjid, surau seluruh negara appeared first on Scoop.