
PETALING JAYA – Lembaga Tabung Haji (TH) menegaskan pelunasan zakat yang dilaksanakan bagi pihak pendeposit adalah sah, sempurna dan mematuhi hukum syarak.
Menurut TH, Jawatankuasa Penasihat Syariahnya dalam mesyuarat pada 2 September 2020 berpandangan bahawa pembayaran zakat bagi pendeposit untuk tahun-tahun sebelum konsep wakalah diperkenalkan pada 2019 adalah sah.
Katanya, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia pada 3 Mei 1979 turut menetapkan bahawa TH tidak wajib membayar zakat bagi pihak institusi itu sendiri, sebaliknya berkewajipan melunaskannya bagi pihak pendeposit.
“TH telah secara konsisten menunaikan kewajipan membayar zakat bagi pihak pendeposit selaras dengan ketetapan tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
TH menjelaskan, bagi tempoh penggunaan kontrak Wadiah Yad Damanah dari 2016 hingga 2019, zakat yang dikeluarkan merupakan zakat perniagaan secara khultah bagi pihak pendeposit ke atas kumpulan wang mereka yang diniagakan.
Menurutnya, perkara itu mengambil kira kedudukan TH yang tidak diwajibkan zakat, tidak mempunyai pemegang saham serta keseluruhan aset yang diniagakan dijana sepenuhnya daripada dana pendeposit.
Sehubungan itu, semua zakat yang dibayar TH pada setiap masa adalah bagi pihak pendeposit.
“Pendeposit tidak lagi perlu mengeluarkan zakat ke atas dana deposit yang sama selepas TH melunaskannya bagi pihak mereka.
“Pembayaran semula akan mengakibatkan pertindihan zakat ke atas harta sama yang tidak selaras dengan prinsip Syariah,” katanya.
Mengulas syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH supaya perkara berkaitan amalan zakat dibawa kepada Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, TH berkata, perkara itu telah dibentangkan dan diperakui pada Jun 2024.
Pandangan jawatankuasa tersebut kemudiannya disembah maklum kepada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-267 pada Oktober tahun sama.
TH berkata, keseluruhan operasi dan tadbir urus zakat institusi itu berpandukan Garis Panduan Zakat yang diluluskan serta dipantau Jawatankuasa Penasihat Syariah TH yang dianggotai pakar syariah dan kewangan Islam.
Terdahulu, kerajaan menubuhkan RCI pada 2021 bagi meneliti dapatan pengauditan oleh perunding berkaitan isu TH untuk tempoh 2014 hingga 2018 serta langkah pemulihan yang dilaksanakan sehingga 2020.
Laporan tersebut mengandungi pelbagai penemuan mengenai tadbir urus dan pengurusan TH bagi tempoh 2014 hingga 2020.
Ia turut menyentuh aspek pengurusan zakat TH, menyebabkan timbul persoalan dalam kalangan orang ramai sama ada zakat yang dibayar sebelum ini sah atau perlu dibayar semula. – KOSMO! ONLINE
The post TH tegaskan zakat pendeposit sah, tidak perlu bayar semula appeared first on Kosmo Digital.






