Thailand, Kemboja adakan rundingan di Malaysia bagi perincikan gencatan senjata

4 Aug 2025 • 2:10 PM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

image is not available

KUALA LUMPUR – Pegawai kanan Thailand dan Kemboja bertemu di Malaysia hari ini untuk rundingan pertama Jawatankuasa Sempadan Umum sejak satu perjanjian gencatan senjata berjaya dimeterai minggu lalu selepas lima hari pertempuran sengit di sempadan yang meragut puluhan nyawa dan menyebabkan lebih 260,000 orang dipindahkan.

Rundingan empat hari itu pada asalnya dijadualkan berlangsung di Kemboja, namun kedua-dua negara bersetuju memilih Malaysia sebagai lokasi neutral memandangkan negara ini merupakan Pengerusi ASEAN tahun ini dan juga bertindak sebagai pengantara dalam usaha menamatkan pertempuran pada 28 Julai lalu.

Gencatan senjata tersebut dimeterai selepas tekanan ekonomi dari Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang memberi amaran bahawa Washington tidak akan memeterai sebarang perjanjian perdagangan dengan kedua-dua negara sekiranya pertempuran berterusan.

Selepas gencatan senjata dilaksanakan, Amerika Syarikat menurunkan kadar tarifdari 36% kepada 19% ke atas barangan dari kedua-dua negara bermula 1 Ogos.

Menurut sumber pertahanan, rundingan hari ini memberi tumpuan kepada memperincikan pelaksanaan gencatan senjata dan langkah-langkah bagi mengelakkan pertempuran semula. 

Isu tuntutan wilayah sempadan yang berlarutan selama beberapa dekad tidak dimasukkan dalam agenda kali ini.

Konflik sempadan antara Thailand dan Kemboja bukan sesuatu yang baharu, malah berakar umbi sejak era empayar kuno kedua-dua negara.

Ketegangan tercetus semula pada tahun 2011 melibatkan kawasan kuil purba Preah Vihear, yang menurut keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 1962 dimiliki oleh Kemboja.

Keputusan itu disahkan semula oleh ICJ pada 2013, namun terus mencetuskan ketidakpuasan hati Thailand.

Hubungan antara dua negara semakin meruncing sejak seorang tentera Kemboja ditembak mati dalam kejadian pada Mei lalu, diikuti dengan letupan periuk api bulan lepas yang mencederakan tentera Thailand, sekali gus mencetuskan kembali konflik bersenjata.

Ketua Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Mohamad Nizam Jaffar, berkata rundingan minggu ini turut membincangkan skop dan mandat pasukan pemantau ASEAN di kawasan terjejas.

Walaupun terdapat laporan mengenai beberapa insiden selepas gencatan senjata berkuat kuasa, Jeneral Nizam menegaskan bahawa kejadian tersebut adalah insiden terpencil dan kedua-dua pihak menunjukkan komitmen tinggi untuk mengekalkan kedamaian.

Sesi utama Jawatankuasa Sempadan Umum dijadualkan berlangsung pada Khamis ini, dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Pertahanan Thailand, Jeneral Natthaphon Nakpanit dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Kemboja, Tea Seih, dengan kehadiran pemerhati dari Malaysia, Amerika Syarikat dan China.

Namun begitu, ketegangan masih belum reda sepenuhnya apabila kedua-dua negara terus menyalahkan satu sama lain atas kerosakan dan didakwa melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa, termasuk serangan ke atas orang awam dan penggunaan senjata yang diharamkan.