
BANGKOK: Thailand mencatat sejarah dalam bidang perubatan apabila melaksanakan pembedahan tele-robotik pertama negara itu semalam, membolehkan pakar bedah di Bangkok melakukan operasi ke atas pesakit yang berada lebih 250 kilometer jauhnya di Nakhon Ratchasima.
Menteri Kesihatan Awam, Pattana Promphat, merasmikan prosedur berkenaan di Hospital Nopparat Rajathanee, menurut Jabatan Perhubungan Awam Kerajaan Thailand.
Pembedahan terhadap pesakit kanser prostat itu dilakukan di Hospital Maharat Nakhon Ratchasima oleh Dr Nipon Suparattanachart dan Dr Thanathorn Termkraisri, manakala sistem robotik dikendalikan dari Bangkok oleh Dr Peeradon Sapermsap.
Pattana menyifatkan kejayaan itu sebagai pencapaian bersejarah yang membuka peluang memperluas penggunaan teknologi perubatan canggih ke wilayah di seluruh Thailand.
Beliau berkata kejayaan itu turut menyusuli pencapaian hospital berkenaan dalam pembedahan tele-robotik bersama China sebelum ini.
Sementara itu, Setiausaha Tetap Kesihatan Awam, Dr Somrerk Chungsaman, berkata teknologi berkenaan membolehkan petugas perubatan di wilayah meningkatkan kemahiran melalui kerjasama dengan pakar dari pusat perubatan utama.
Menurutnya, program itu akan diperluas secara berperingkat kepada rangkaian hospital di seluruh wilayah kesihatan negara bagi meningkatkan akses kepada rawatan canggih dan mengurangkan jurang penjagaan kesihatan.
Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Perubatan, Dr Natthapong Wongwiwat, berkata Hospital Nopparat Rajathanee telah menjalankan program pembedahan robotik sejak Disember 2025.
Katanya, sebanyak 52 pembedahan robotik dilaksanakan sejak itu dan kesemuanya berjaya.
Prosedur berkenaan meliputi tiga bidang utama iaitu ginekologi bagi kanser rahim dan ovari, pembedahan am bagi kanser pankreas, perut dan kolorektal serta urologi bagi kanser prostat dan buah pinggang.
Hospital berkenaan turut melaksanakan pembedahan jarak jauh bersama Hospital China Barat yang terletak kira-kira 3,000 km jauhnya.
Pakar bedah di hospital itu menjalankan prosedur membuang batu hempedu pada 21 April, diikuti pembedahan ke atas pesakit kanser prostat pada 25 Jun. Kedua-dua operasi dikendalikan dari jarak jauh oleh pakar bedah di China.- AGENSI
The post Thailand laksana pembedahan tele-robotik pertama appeared first on Utusan Malaysia.


