Polis Thailand selamatkan budak 4 tahun berpaut belakang lori ais sejauh 10km

18 Aug 2026 • 9:00 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Polis Thailand selamatkan budak 4 tahun berpaut belakang lori ais sejauh 10km

BANGKOK: Polis Thailand menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang ditemui berpaut pada bahagian belakang sebuah lori penghantaran ais ketika kenderaan itu bergerak sejauh lebih 10 kilometer di sepanjang jalan di Sakon Nakhon.

Pegawai polis trafik sedang menjalankan pemeriksaan berhampiran persimpangan pintu masuk bandar di Perbandaran Sakon Nakhon kira-kira pukul 12.20 tengah hari (waktu tempatan) semalam apabila menyedari kanak-kanak itu berada di bahagian belakang lori penghantaran ais yang berhenti di lampu isyarat.

Pegawai berkenaan menghampiri lori itu dan mendapati kanak-kanak tersebut berdiri di atas anak tangga belakang sambil berpaut pada kenderaan, sebelum mengarahkan pemandu supaya memberhentikan lori di bahu jalan.

Seorang wanita Thailand yang menyaksikan kejadian itu turut berkongsi video berkenaan menerusi akaun Facebook miliknya.

Pemandu lori terbabit kelihatan terkejut dan keliru apabila dimaklumkan pegawai polis bahawa kanak-kanak itu telah berpaut pada bahagian belakang kenderaannya.

Menurut laporan Channel 7, pemandu berkenaan sebelum itu menghantar ais berhampiran Kampus Sakon Nakhon Universiti Kasetsart.

Dia kemudian meneruskan perjalanan menuju ke subdaerah Chiang Khruea tanpa berhenti sejauh lebih 10 kilometer sebelum dimaklumkan mengenai kehadiran kanak-kanak tersebut.

Polis berkata, kanak-kanak itu tidak kelihatan ketakutan atau mengalami kecederaan, namun pada mulanya enggan bercakap dengan mereka.

Pegawai kemudian membawanya ke Balai Polis Mueang Sakon Nakhon. Mereka turut membelikan makanan ringan dan susu untuk kanak-kanak itu sementara berusaha mengesan keluarganya.

Polis turut berkoordinasi dengan balai-balai polis lain bagi memeriksa sama ada terdapat laporan kehilangan kanak-kanak di mana-mana kawasan, namun tiada laporan sedemikian diterima ketika itu.

Selepas beberapa jam menjalankan siasatan, polis berjaya mendapatkan maklumat mengenai keluarga kanak-kanak berkenaan dan menghubungi Pusat Perlindungan Kanak-kanak dan Keluarga Sakon Nakhon bagi membantu mengesan ibu bapanya.

Pusat perlindungan itu kemudian mendapatkan bantuan pihak perbandaran tempatan, yang menghantar pegawai untuk mengambil kanak-kanak tersebut dan membawanya pulang dengan selamat kepada keluarganya.

Tiada laporan mengenai bagaimana kanak-kanak itu boleh berada dalam keadaan berpaut pada kenderaan berkenaan, manakala keluarganya juga belum memberikan penjelasan mengenai kejadian itu.-AGENSI

The post Polis Thailand selamatkan budak 4 tahun berpaut belakang lori ais sejauh 10km appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved