
BANGKOK: Thailand bersedia mengubah pendekatannya terhadap pemberontakan berlarutan di wilayah selatan negara itu yang majoritinya penduduk Islam, selain menghidupkan semula proses damai bagi menamatkan konflik yang masih berlarutan, kata ketua perunding Bangkok.
Langkah itu berpotensi mengembalikan tumpuan kepada punca politik konflik berkenaan, yang meragut lebih 7,800 nyawa sejak 2004, apabila gelombang baharu pemberontakan yang diketuai terutama oleh Barisan Revolusi Nasional (BRN) tercetus di wilayah paling selatan Thailand yang bersempadan dengan Malaysia.
Dalam keganasan terbaharu di wilayah itu, lima anggota pasukan keselamatan terbunuh dalam satu serangan pada bulan lalu.
Sejak rundingan yang difasilitasi Malaysia bermula pada 2013, proses damai berkenaan beberapa kali terbantut susulan perubahan kerajaan di Bangkok, perpecahan dalaman kedua-dua pihak serta pendekatan yang lebih menumpukan pertukaran konsesi sebagai balasan kepada pengurangan keganasan.
Ketua Agensi Perisikan Nasional Thailand, Thanut Suvarnananda yang dilantik kerajaan pada April untuk mengetuai proses damai itu berkata, beliau mahu beralih daripada pendekatan yang berasaskan pertukaran kepentingan.
“Prinsip saya bukan ‘ada perjanjian atau tiada perjanjian’. Jika mereka berhenti menembak, apa yang perlu Thailand berikan sebagai balasan?
“Kita tidak boleh terperangkap dalam perangkap yang sama seperti lebih 10 tahun lalu,” katanya kepada Reuters dalam wawancara media yang jarang dilakukan, sambil merujuk kepada pendekatan tradisional serta langkah membina keyakinan sebelum ini yang hanya membuahkan hasil terhad.
Thanut berkata, Bangkok sebaliknya perlu membuka semula perbincangan mengenai bentuk pentadbiran yang paling sesuai untuk wilayah sempadan selatan.
“Mengapa kita tidak membuka semula perbincangan dan membincangkan bentuk pemerintahan yang sebenarnya sesuai untuk wilayah sempadan selatan?
“Daripada perbincangan yang saya jalankan, saya rasa saya sudah menemui perkara yang menjadi punca utama konflik ini iaitu bentuk pemerintahan yang sesuai,” katanya, yang menunjukkan kesediaan Bangkok untuk lebih bertolak ansur terhadap mekanisme pemerintahan sendiri berbanding sebelum ini.
Menurut Thanut, pendekatan itu bertujuan mengubah BRN daripada pihak yang bermusuhan kepada rakan berpotensi dalam usaha menangani tuntutan masyarakat di seluruh wilayah selatan Thailand.
Ia termasuk wilayah majoriti Melayu-Islam seperti Pattani, Yala dan Narathiwat yang suatu ketika dahulu merupakan sebahagian daripada Kesultanan Melayu Patani yang merdeka.
Thanut berkata, pengampunan, pengampunan diraja serta pengurangan hukuman terhadap suspek pemberontak yang masih mempunyai waran tangkap atau sedang ditahan turut sedang dipertimbangkan.
Cadangan seumpama itu pernah dibincangkan sebelum ini, namun belum menghasilkan langkah konkrit. BRN yang melancarkan perang gerila bagi mendapatkan kemerdekaan untuk tiga wilayah selatan berkenaan enggan memberikan respons berhubung isu itu.
The post Thailand sedia ubah pendekatan, hidupkan semula proses damai di selatan appeared first on Utusan Malaysia.






