Thailand tidak selamat

24 Aug 2026 • 7:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Thailand tidak selamat

NARATHIWAT (THAILAND): Wilayah selatan Thailand kini tidak selamat untuk dikunjungi rakyat Malaysia berikutan insiden keganasan dan letupan bom yang berlaku di Selatan negara itu malam semalam.

Sebanyak 51 insiden keganasan yang dipercayai didalangi kumpulan pemisah berlaku secara serentak membabitkan Narathiwat, Yala dan Pattani dalam tempoh hampir dua jam.

Serangan bermula sekitar pukul 8 malam itu merangkumi pengeboman, pembakaran pejabat dan kenderaan kerajaan, letupan menara telekomunikasi, rompakan, letupan kedai serbaneka serta pembakaran tayar, selain turut mencederakan orang awam.

Sehubungan kejadian itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat menasihatkan rakyat Malaysia supaya menangguhkan perjalanan ke selatan Thailand jika tiada urusan penting.

Katanya, walaupun tiada rakyat Malaysia dilaporkan menjadi mangsa dalam siri serangan berkenaan, perkembangan itu perlu dipandang serius.

“Rakyat Malaysia yang merancang melakukan perjalanan ke kawasan terbabit, termasuk Hat Yai, perlu mengambil kira perkembangan keselamatan semasa dan sentiasa berhati-hati.

“Saya nasihatkan mereka untuk tidak masuk ke Hat Yai kerana berlaku 51 insiden malam semalam di tiga wilayah selatan Thailand.

“Isu di selatan Thailand ini hari-hari ada. Cuma semalam itu teruklah. Kita tidak mahu rakyat kita terkesan daripada punca-punca macam pengeboman ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, semalam.

Beliau berkata, nasihat sama turut diberikan kepada sekumpulan penunggang motosikal berkuasa tinggi Ducati Malaysia yang berada di Kelantan dan merancang memasuki Thailand.

Mohd. Yusoff berkata, pendirian itu selaras dengan nasihat Kementerian Luar Negeri yang tidak menghalang rakyat Malaysia melakukan perjalanan ke Thailand, namun meminta mereka mengambil langkah berjaga-jaga.

Sementara itu, jurucakap Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) berkata, sebanyak 22 insiden direkodkan di Narathiwat, 18 di Yala dan 11 di Pattani sehingga tengah malam semalam.

Dua orang awam berusia lingkungan 30-an turut cedera selepas kenderaan dinaiki mereka terkena bom buatan sendiri (IED) di Daerah Sungai Padi, Narathiwat, antara pukul 8 hingga 8.45 malam.

Susulan serangan terancang itu, Pasukan Petugas Khas Narathiwat mengisytiharkan perintah berkurung di seluruh wilayah berkenaan mulai pukul 10.15 malam hingga 6 pagi.

Langkah itu bertujuan memberi ruang kepada polis dan tentera menjalankan siasatan, selain menghalang orang ramai menghampiri lokasi kejadian.

Di Narathiwat, lima insiden berlaku di Rangae, empat di Chanae dan tiga di Bacho, manakala masing-masing dua di Tak Bai serta satu di beberapa daerah lain termasuk Sungai Golok dan Sungai Padi.

Di Yala, sembilan insiden dilaporkan di Thanto, tujuh di Bannang Sata dan dua di Raman.

Pattani merekodkan 11 insiden dengan masing-masing tiga di Yarang dan Nong Chik, dua di Yaring serta satu di Saiburi, Thung Yang Daeng dan Khok Po.

Jurucakap ISOC 4 berkata, semua lokasi kejadian dikepung bagi membolehkan pasukan keselamatan mengumpul bukti dan maklumat untuk tindakan undang-undang.

Katanya, walaupun insiden itu tidak melibatkan kawasan tumpuan pelancong, stesen minyak, kedai serbaneka dan premis berisiko tinggi di dalam serta sekitar bandar diarahkan ditutup sementara.

Sementara itu, Wisma Putra memaklumkan tiada laporan rakyat Malaysia terjejas dalam insiden berkenaan.

Menurut kenyataan itu, pasukan keselamatan tempatan meningkatkan pengawasan di kawasan terjejas, termasuk melaksanakan perintah berkurung sementara.

Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok dan Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla turut berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan bagi memantau perkembangan dan memastikan kebajikan rakyat Malaysia di kawasan berkenaan terpelihara.

Rakyat Malaysia yang menetap, sedang berkunjung atau bercadang melakukan perjalanan ke wilayah sempadan selatan Thailand dinasihatkan sentiasa berwaspada, mematuhi perintah berkurung dan mengikuti arahan keselamatan pihak berkuasa tempatan. – UTUSAN

The post Thailand tidak selamat appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved