amree02/10/2026 - 17:31 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 2 Okt — Usaha THB Power Sdn Bhd untuk mencabar perintah penggulungan yang dikenakan terhadapnya menemui jalan buntu apabila Mahkamah Rayuan menolak rayuan syarikat tersebut pada 1 Oktober 2026.
Mudajaya Group Berhad dalam makluman kepada Bursa Malaysia Securities berkata, Mahkamah Rayuan turut mengenakan kos sebanyak RM40,000 terhadap THB Power yang perlu dibayar kepada kumpulan berkenaan.
Keputusan tersebut susulan tindakan THB Power memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang sebelum ini membenarkan perintah penggulungan oleh Mudajaya terhadap syarikat berkenaan pada 4 Februari 2026.
Selain itu ujarnya, pengeluar tenaga bebas (IPP) tersebut turut memohon penangguhan pelaksanaan perintah penggulungan sementara menunggu keputusan rayuan kes didengar di Mahkamah Rayuan.
"Bagaimanapun, permohonan penangguhan itu sudah didengar pada 21 Julai 2026 dan ditolak Mahkamah Tinggi, dengan kos RM12,000 kepada Mudajaya serta RM3,000 kepada pihak pelikuidasi," kata Mudajaya.
Artikel berkaitan: THB Power gagal bayar RM27.9 juta, Mahkamah Tinggi benarkan petisyen penggulungan dari Mudajaya
Perkembangan terbaharu itu berkait dengan pertikaian undang-undang antara Mudajaya Corporation Berhad, iaitu anak syarikat kepada Mudajaya Group, dan THB Power yang sudah berlarutan sejak tahun lalu.
Sebelum ini, Mudajaya memulakan tindakan berhubung kegagalan THB Power menjelaskan tuntutan berjumlah sekitar RM27.9 juta, yang kemudiannya membawa kepada petisyen penggulungan terhadap syarikat tersebut.
Mudajaya Group sebelum ini memaklumkan bahawa Mahkamah Tinggi memberikan perintah penggulungan selepas mendapati THB Power gagal melunaskan jumlah yang dituntut.
Dengan keputusan Mahkamah Rayuan pada 1 Oktober itu, perintah penggulungan yang dipertikaikan THB Power kekal berkuat kuasa, tertakluk kepada sebarang arahan lanjut mahkamah.
"Lembaga Pengarah Mudajaya akan membuat pengumuman lanjut kepada Bursa Malaysia Securities sekiranya diperlukan atau selepas menerima arahan selanjutnya daripada mahkamah," katanya. - DagangNews.com


