amree25/09/2026 - 17:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 25 Sept – Bursa Malaysia Securities Berhad menegur secara terbuka Ahmad Zaki Resources Berhad (AZRB) kerana gagal membuat pengumuman segera berhubung empat petisyen penggulungan yang difailkan terhadap syarikat dan anak-anak syarikatnya.
Kegagalan itu melibatkan tiga petisyen terhadap anak syarikat milik penuh AZRB, Ahmad Zaki Sdn Bhd (AZSB), serta satu petisyen oleh AmBank Islamic Sdn Bhd terhadap AZRB dan AZSB Machineries Sdn Bhd, yang juga merupakan subsidiari milik penuh kumpulan.
Menurutnya, kelewatan secara berulang dalam mendedahkan petisyen itu menunjukkan ketidakpatuhan terhadap keperluan Bursa Malaysia serta kelemahan tadbir urus syarikat, memandangkan pengumuman segera penting bagi membolehkan pelabur menilai keadaan syarikat.
"Petisyen pertama difailkan Qimako Engineering & Construction Sdn Bhd bagi tuntutan RM1.18 juta, tetapi diumumkan 13 hari kemudian pada 14 Mei 2026, manakala petisyen BBR Construction Systems (M) Sdn Bhd berjumlah RM5.01 juta pula lewat 14 hari pada 26 Mei 2026," katanya.
Di samping itu tambah Bursa Malaysia, petisyen ketiga yang dikemukakan oleh Pathfinder M & E Sdn Bhd berjumlah RM2.66 juta didapati mengalami kelewatan paling lama, iaitu kira-kira 50 hari sebelum diumumkan AZRB pada 16 Jun 2026.
Sementara itu, petisyen AmBank Islamic berjumlah RM558,844 yang diterima pada 22 Jun 2026 hanya diumumkan pada 6 Julai 2026, iaitu selepas kelewatan kira-kira 10 hari.
Artikel berkaitan:
18 petisyen gulung tikar sejak 2025, anak syarikat AZRB mohon perlindungan mahkamah
Bursa Malaysia gantung dagangan saham Ahmad Zaki sejam kerana lewat melaporkan petisyen gulung tikar

Bursa Malaysia berkata, pengurusan AZRB hanya membuat pengumuman berhubung petisyen-petisyen berkenaan selepas pihak bursa berjaya mengesan perkara itu dan berhubung dengan syarikat.
"AZRB sebelum ini mendakwa mereka yang terlibat sedang mengadakan perbincangan serta rundingan dengan pemiutang bagi mencapai penyelesaian secara baik, selain pihak pengurusan berpandangan petisyen itu berkemungkinan dapat diselesaikan," katanya.
Bagaimanapun, Bursa Malaysia menjelaskan perenggan 9.19(19) Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama (MAIN LR) menetapkan syarikat tersenarai mesti membuat pengumuman segera mengenai petisyen penggulungan terhadap syarikat, anak syarikat atau syarikat bersekutu utama, tanpa mengambil kira sama ada syarikat sedang berunding dengan pemiutang.
Bursa Malaysia turut menegaskan bahawa keperluan itu terpakai walaupun petisyen berkenaan tidak memberi kesan kewangan atau operasi, sedang dicabar oleh syarikat atau syarikat itu berpendapat yang petisyen tersebut sebagai tidak berasas.
Teguran awam itu dikenakan di bawah perenggan 16.19(1) MAIN LR selepas proses sewajarnya selesai, dengan Bursa Malaysia mengambil kira fakta dan keadaan kes termasuk materialiti pelanggaran, pengetahuan serta tindakan syarikat.
"Selain itu, Bursa Malaysia turut mengingatkan Lembaga Pengarah AZRB mengenai tanggungjawab memastikan pematuhan terhadap keperluan penyenaraian," tegasnya. - DagangNews.com






