
PENGENDALI Chelsea, Xabi Alonso memberi jaminan pasukannya akan menyajikan permainan berkualiti tinggi pada aksi persahabatan pra musim menentang juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, malam ini.
Walaupun ia berstatus persiapan pramusim, Alonso enggan menjadikan perhitungan ini sebagai ‘sarkas’ dan mahu memanfaatkannya bagi menilai kemampuan sebenar The Blues sebelum membuka tirai Liga Perdana Inggeris, hujung bulan ini.
Walaupun terdapat jurang antara kedua-dua pasukan, Alonso selesa untuk melihat aspek positif terutamanya bagi membina keserasian terbaik antara pemain sedia ada dan pemain baharu yang menyertai pasukan.
“Perkara yang paling menggembirakan ialah ke mana sahaja kami pergi di seluruh dunia, kami sentiasa menerima sokongan daripada para penyokong. Mereka sanggup berusaha untuk datang menyaksikan kami beraksi.
“Saya mengenali beberapa individu daripada Johor Darul Ta’zim, termasuk Luis Garcia dan kami sudah tidak sabar untuk beraksi di Johor,” katanya.
Selepas bertemu Harimau Selatan, The Blues dijangka akan kembali ke England bagi melakukan persiapan terakhir sebelum membuka saingan Liga Perdana menentang Fulham di Craven Cottage 25 Ogos ini.
Selain peluang untuk memperkukuhkan pasukan, pengurus dari Sepanyol itu turut menjadikan pertemuan kali ini sebagai detik terbaik untuk menghargai peminat Chelsea, khususnya di Malaysia.
Sebagai salah satu pasukan terbaik di England yang pernah memenangi kejuaraan utama, perlawanan ini pastinya memberikan peluang istimewa kepada para penyokong untuk menyaksikan dua kelab juara dengan budaya bola sepak berbeza.
Penyokong berpeluang menyaksikan beberapa bintang utama Chelsea beraksi termasuk Cole Palmer, Joao Pedro, Estevao Willian, Liam Delap, Jamie Gittens, Levi Colwill, Wesley Fofana dan Romeo Lavia.
The post The Blues jamin bukan aksi ‘sarkas’ appeared first on Kosmo Digital.


