Chelsea, JDT pertembungan dua juara di SSI

LocalFootball
7 Aug 2026 • 6:30 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Chelsea, JDT pertembungan dua juara di SSI

JOHOR BAHRU: Stadium Sultan Ibrahim bakal menjadi tumpuan dunia bola sepak apabila gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea FC bertemu juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi persahabatan antarabangsa yang dijadual berlangsung Ahad ini.

Pertemuan sulung antara kedua-dua kelab itu bukan sekadar aksi pra-musim biasa, sebaliknya dianggap detik bersejarah yang menemukan salah sebuah kelab paling berjaya di England dengan pasukan paling dominan dalam sejarah bola sepak Malaysia.

Perlawanan tersebut turut memberi peluang kepada ribuan penyokong tempatan untuk menyaksikan pemain bertaraf dunia beraksi di bumi Johor, selain mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai destinasi penganjuran acara bola sepak antarabangsa.

Chelsea hadir ke Johor sebagai destinasi terakhir dalam siri Jelajah APAC 2026 selepas mengharungi beberapa aksi berprofil tinggi termasuk menentang Juventus dalam Festival Bola Sepak Hong Kong.

Skuad kendalian Xabi Alonso itu dijadualkan berdepan AC Milan di Jakarta sebelum terbang ke Johor bagi melengkapkan persiapan terakhir menjelang saingan EPL musim 2026/27.

Biarpun berstatus aksi pra-musim, Chelsea dijangka menurunkan pasukan yang kompetitif dengan pemain seperti Danny Welbeck, Geovany Quenda dan Joao Pedro terus menjadi sandaran Alonso dalam membentuk kombinasi terbaik.

Pengendali dari Sepanyol itu, mengakui tidak sabar untuk merasai sendiri suasana bola sepak di Johor yang disifatkannya mempunyai kelompok penyokong cukup bersemangat.

“Perkara yang paling menggembirakan ialah ke mana sahaja kami pergi di seluruh dunia, kami sentiasa menerima sokongan daripada para penyokong. Mereka sanggup berusaha untuk datang menyaksikan kami beraksi.

“Saya mengenali beberapa individu daripada Johor Darul Ta’zim termasuk Luis Garcia dan kami tidak sabar untuk beraksi di Johor,” katanya.

Bagi JDT pula, perlawanan tersebut menjadi satu lagi pentas penting untuk mengukur kemampuan pasukan menjelang kempen domestik dan Asia yang lebih mencabar.

Ketua jurulatih Harimau Selatan, Xisco Munoz menyifatkan pertemuan menentang Chelsea sebagai peluang terbaik untuk pemainnya menimba pengalaman berdepan antara pasukan elit dunia.

“Berdepan kelab seperti Chelsea merupakan peluang yang amat baik untuk pemain-pemain dan kelab kami, bukan sahaja dari sudut bola sepak tetapi juga dalam memperluaskan jenama JDT.

“Kami amat menghormati segala pencapaian mereka, namun kami akan menghadapi perlawanan ini dengan penuh keyakinan dan cita-cita untuk mempamerkan aksi terbaik. Beraksi dalam perlawanan pramusim di hadapan penyokong sendiri menjadikan kesempatan ini lebih istimewa,” katanya.

Pertembungan itu juga menarik perhatian kerana menemukan dua jurulatih dari Sepanyol yang sedang membina reputasi masing-masing bersama kelab berprofil tinggi.

Alonso yang sedang mempersiapkan Chelsea untuk musim baharu EPL bakal beradu strategi dengan Xisco yang terus membawa JDT mendominasi bola sepak Malaysia dan mencabar pasukan terbaik Asia.

Selain nilai kompetitif di atas padang, kehadiran Chelsea turut memberi impak besar kepada industri pelancongan dan ekonomi tempatan apabila ribuan penyokong dari seluruh negara serta negara jiran dijangka membanjiri Johor.

Pengarah Urusan TEG Sport, Rachael Carroll berkata, pemilihan Malaysia sebagai destinasi terakhir Jelajah APAC Chelsea membuktikan negara ini semakin mendapat pengiktirafan dalam penganjuran acara bola sepak bertaraf antarabangsa.

“Jelajah APAC Chelsea telah membawa aksi bola sepak bertaraf tinggi kepada para penyokong di seluruh rantau ini dan kami berbesar hati kerana Malaysia dipilih sebagai destinasi terakhir jelajah tersebut.

“Menemukan Chelsea FC dan Johor Darul Ta’zim buat pertama kali merupakan satu detik istimewa buat peminat bola sepak dan kami tidak sabar untuk mengalu-alukan para penyokong ke Stadium Sultan Ibrahim bagi menikmati satu malam yang pasti akan dikenang,” jelasnya.-UTUSAN

The post Chelsea, JDT pertembungan dua juara di SSI appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved