
Reboot kali ke dua filem The Fantastic Four: First Steps kini lebih berjaya berbanding sebelumnya. Jika dahulu, filem yang dibuat semula itu seperti janggal dan kurang memikat tetapi versi kali ini jauh lebih kemas dan menepati selera para penonton.
Seakan semuanya sudah maklum, permulaan filem ini terus kepada meraikan kejayaan mereka sebagai superhero kesukaan ramai. Kumpulan ini menjadi ikon selebriti kerana keupayaan mereka mempertahankan dunia dari makhluk asing. Lebih dari itu, kejayaan demi kejayaan dari penyelidikan yang mereka usahakan turut mendapat manfaat buat seluruh masyarakat dunia.
Pasangan bahagia Reed Richard dan Sue Storm pula dalam fasa untuk menjadi ibu bapa kerana meraka berdua sedang menanti kelahiran anak sulung lelaki. Pelbagai persiapan sedang dilakukan dan disamping itu juga kumpulan ini seperti biasa tetap melaksanakan tugas harian seperti lazimnya.
Pada satu hari, Reed Richard mendapat satu signal dari angkasa lepas. Signal ini kemudianya dirakam untuk dikaji. Tidak berapa lama selepas itu, mereka didatangi oleh satu makhluk asing yang dikenali sebagai Silver Surfer. Dia datang ke bumi dangan memberi amaran bahawa masa untuk makhluk bumi telah tamat dan mereka semua akan hancur. Ketuanya iaitu Galactus akan hadir untuk memakan seluruh planet bumi.


Rentetan dari itu, penduduk bumi menjadi takut dan mereka semua berharap agar The Fantastic Four akan membantu menyelesaikan ancaman tersebut. The Fantastic Four mula membuat perancangan dan akhirnya mengambil keputusan untuk pergi ke ruang agkasa lepas untuk berunding dengan Galactus. Tetapi Galactus enggan berunding sebaliknya memberikan satu pilihan, serahkan anak yang berada dalam kandungan atau bersedia untuk menerima padahnya. Maka berlakulah konflik yang tidak dapat dielakkan.
Dalam filem ini lakonan Pedro Pascal sebagai Reed Richards jauh berbeza dari sebelumnya. Dia berjaya memainkan watak Mr. Fantastic sebagai seorang genius dan bapa yang kompleks dari segi emosi. Watak sebagai saintis ini juga sentiasa tenang dan sering berwaspada. Vanessa Kirby pula membawa peranan sebagai Sue Storm dengan sungguh matang dan penuh berkeyakinan. Kirby cemerlang menyampaikan ekspresi emosi, menggabungkan kekuatan, empati dan keazaman. Watak Sue Storm juga adalah daya tarikan utama dalam filem ini. Seterusnya Joseph Quinn menyuntik tenaga muda dan jenaka ke dalam watak Johnny Storm, manakala Ebon Moss-Bachrach pula menghidupkan karekter Ben Grimm dengan imej yang lebih tenang dan santai walaupun watak ini sebelumnya dikenali lebih ganas dan cepat melenting.
Sama ada anda peminat lama atau baru dalam Fantastic Four, filem ini menghidangkan aksi pengembaraan yang penuh aksi mendebarkan. Ia bukan sekadar filem reboot semata-mata tetapi ia adalah langkah pertama ke arah menggabungkan Fantastic Four untuk menjadi salah satu naratif MCU terkini. Seperti biasa jangan terus bangun dari tempat duduk kerana diakhir kredit ada satu watak baru yang akan muncul!
Penulis merupakan pensyarah kanan di Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (ASWARA). rasfan@aswara.edu.my
Rasfan Abu Bakar (rasfan@aswara.edu.my) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.



