“They Are The Sweetest” – Jemaah Umrah Kongsi Kebaikan Haram Police Ketika Terpisah Dengan Suami

Travel
2 Jun 2026 • 12:19 PM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

Image from: “They Are The Sweetest” – Jemaah Umrah Kongsi Kebaikan Haram Police Ketika Terpisah Dengan Suami

KUALA LUMPUR, 2 Jun – Seorang jemaah umrah dari Malaysia mencuri perhatian warga maya selepas berkongsi pengalaman menyentuh hati mengenai layanan anggota keselamatan di Masjidil Haram atau lebih dikenali sebagai Haram Police.

Menerusi satu hantaran di Threads, wanita dikenali sebagai Fatehatulain menyifatkan petugas berkenaan sebagai individu yang kelihatan tegas ketika menjalankan tugas, namun memiliki sikap yang sangat baik dan prihatin apabila berinteraksi dengan jemaah.

“They are the sweetest the moment they open their mouth. Waktu tak cakap tu, punya lah garang mukanya,” tulisnya.

Menurut wanita itu, pengalaman tersebut berlaku ketika beliau terpisah daripada suaminya semasa melakukan tawaf di Masjidil Haram sehingga menyebabkan dirinya berada dalam keadaan panik dan menangis.

Cuba Hulurkan Bantuan

Ketika menunggu suaminya berhampiran laluan menuju ke Saie, seorang anggota Haram Police yang pada mulanya meminta beliau bergerak dari kawasan berkenaan tiba-tiba berhenti selepas menyedari keadaan dirinya yang kelihatan cemas.

Anggota tersebut kemudian bertanya mengenai situasi yang dihadapi sebelum menawarkan bantuan untuk menghubungi suaminya.

Wanita itu bagaimanapun menjelaskan bahawa telefon bimbitnya telah hilang, menyebabkan usaha untuk menghubungi suaminya menjadi lebih sukar.

“You lost your husband? Call him.”

“But I lost my phone here.”

“Phone also lost?”

Menurutnya, anggota Haram Police itu kemudiannya mengeluarkan telefon miliknya sendiri bagi membantu membuat panggilan.

“No Saudi Number?”

Namun usaha tersebut berdepan sedikit kesukaran apabila wanita itu hanya mempunyai nombor telefon Malaysia.

“No Saudi number?” tanya anggota berkenaan.

Beliau hanya mampu menggelengkan kepala, manakala anggota polis tersebut dilihat sedikit kecewa kerana tidak dapat membantu dengan lebih lanjut.

Walaupun begitu, wanita berkenaan percaya Allah telah mempermudahkan urusannya apabila tidak lama kemudian beliau ternampak suaminya berjalan melintasi kawasan tersebut.

“Allah takdirkan suami lalu depan mata saya. Seramai itu manusia waktu itu. Hebatnya doa di HQ, Allah makbulkan on the spot,” katanya.

Raih Perhatian Netizen

Perkongsian itu menerima pelbagai reaksi daripada netizen, dengan ramai turut berkongsi pengalaman positif mereka bersama Haram Police dan petugas di Tanah Suci.

Ada yang menyifatkan petugas berkenaan sentiasa bersedia membantu golongan warga emas, wanita hamil, orang kurang upaya serta jemaah yang membawa anak kecil.

Selain itu, ramai turut mengakui perasaan rindu terhadap Makkah dan Madinah adalah sesuatu yang sukar digambarkan selepas menunaikan umrah atau haji. – The Malaysian Update

The post “They Are The Sweetest” – Jemaah Umrah Kongsi Kebaikan Haram Police Ketika Terpisah Dengan Suami appeared first on The Malaysian Update.