
KUALA LUMPUR, 2 Jun – Seorang pengguna Threads berkongsi pengalaman menyentuh hati ketika menunaikan umrah apabila terpisah daripada suaminya semasa melakukan tawaf di Masjidil Haram, Makkah.
Menerusi perkongsian yang tular di platform itu, wanita dikenali sebagai Fatehatulain berkata beliau kehilangan telefon bimbit dan terpisah daripada suaminya ketika berada di kawasan berhampiran laluan menuju ke Saie.
Menurutnya, keadaan tersebut membuatkan beliau berasa sangat cemas sehingga tidak dapat menahan tangisan kerana sepanjang tawaf terakhir, fikirannya hanya tertumpu untuk mencari suaminya.
“Sepanjang tawaf terakhir, saya tak fikir apa-apa selain suami saya,” tulisnya.
Dalam keadaan bingung, seorang anggota polis yang bertugas di kawasan itu menghampirinya selepas menyedari wajahnya yang kelihatan resah dan sedih.
Wanita itu kemudian memaklumkan bahawa beliau telah terpisah daripada suaminya, malah telefon bimbitnya juga hilang.
Polis Cuba Membantu, Namun Terhalang Ketiadaan Nombor Tempatan
Menurut perkongsian tersebut, anggota polis berkenaan pada mulanya menawarkan bantuan dengan mencadangkan agar beliau menghubungi suaminya.
Bagaimanapun, apabila dimaklumkan telefon bimbitnya telah hilang, anggota polis itu mengeluarkan telefon miliknya sendiri untuk membantu membuat panggilan.
Situasi berubah apabila wanita itu hanya mampu memberikan nombor telefon Malaysia yang bermula dengan kod “60”.
“No Saudi number?” tanya anggota polis tersebut.
Selepas beliau menggelengkan kepala, anggota polis berkenaan dilihat sedikit kecewa kerana tidak dapat membantu dengan lebih lanjut.
Namun dalam detik yang dianggap penuh hikmah itu, wanita tersebut berkata Allah mempertemukan semula beliau dengan suaminya tidak lama kemudian.
“Allah takdirkan suami lalu depan mata saya. Seramai itu manusia waktu itu. Hebatnya doa di HQ, Allah makbulkan on the spot,” katanya.
“Rindu Yang Tak Berpenghujung”
Perkongsian itu turut menyentuh hati ramai netizen apabila wanita berkenaan mendedahkan bahawa beliau seorang yang sangat bergantung kepada suami dan jarang berada di mana-mana bersendirian sejak berkahwin.
Beliau mengakui ketika itu berdoa agar dipermudahkan urusan untuk meneruskan ibadah Saie tanpa kehadiran suami di sisi.
Di ruangan komen, beliau turut berkongsi bahawa pengalaman umrah tersebut meninggalkan kerinduan yang sukar digambarkan dengan kata-kata.
Malah, anak-anaknya yang turut mengikuti umrah sebelum ini sering menyuarakan hasrat untuk kembali ke Tanah Suci.
Menurutnya, anak bongsunya yang baru berusia lima tahun juga sudah mula meluahkan rasa rindu terhadap Makkah.
Perkongsian berkenaan mendapat perhatian ramai pengguna media sosial yang turut berkongsi pengalaman masing-masing mengenai layanan baik petugas keselamatan di Tanah Suci serta perasaan rindu yang mendalam selepas menunaikan umrah. – The Malaysian Update
The post “No Saudi Number?” – Jemaah Umrah Kongsi Detik Cemas Terpisah Dengan Suami Di Masjidil Haram appeared first on The Malaysian Update.



