THT intai hatrik Piala Sumbangsih

31 Jan 2024 • 6:18 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Pasukan Hoki Terengganu (THT) turun dengan misi memburu kejuaraan hatrik Piala Sumbangsih apabila berdepan lawan sama Tenaga Nasional Bhd (TNB) pada 7 Feb depan.

Ketua jurulatih THT Mohd Harfizi Baharom berkata meskipun menggunakan kekuatan 100 peratus pemain tempatan bagi menghadapi saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2024, namun beliau yakin skuad bimbingannya itu mampu melakukannya.

“Untuk pasukan THT kita guna 100 peratus khidmat pemain tempatan jadi kita kena bekerja lebih keras untuk perlawanan pembukaan itu.

“Mengekalkan kejuaraan sudah pasti bukan tugas mudah untuk mana-mana pasukan. Jadi kita akan cuba yang terbaik untuk memenangi aksi itu,” katanya pada sidang media menjelang perlawanan Piala Sumbangsih MHL, di sini hari ini.

THT menewaskan TNB dua kali dalam aksi Piala Sumbangsih, masing-masing menang 3-2 pada edisi 2022 dan 4-3, tahun lepas.

Sementara itu, Ketua Jurulatih TNB Nor Saiful Zaini Nasiruddin berkata dengan menampilkan beberapa muka baharu, pasukannya sudah bersedia menghadapi perlawanan itu.

“Tahun ini ada sedikit perbezaan dengan dua bekas pemain kita dah kembali iaitu Shello (Silverius) dan Marhan (Jalil),” katanya.

Beliau berkata TNB juga telah mendapatkan khidmat pemain Korea Selatan, Jang Jong-Hyun untuk memperkuatkan pasukan.

“Malah kita juga sudah kumpulkan hampir kesemua pemain dan saya rasa kami sudah bersedia untuk menghadapi perlawanan pertama kami (Piala Sumbangsih),” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih Negeri Sembilan (NSE) K Rajan mengakui pasukannya berdepan tugas berat untuk mempertahankan gelaran Piala Sumbangsih Wanita selepas kehilangan beberapa tonggak utama musim ini.

“Pasukan kita kurang kuat tahun ini sebab kita hilang banyak pemain kebangsaan. Bagaimanapun, kita sudah bawa masuk beberapa bekas pemain kebangsaan dan harap pengalaman yang mereka ada itu mampu bantu pasukan,” katanya.

Bagi ketua jurulatih Malaysian University, Lailin Abu Hassan berkata pasukannya sudah bersedia untuk merebut Piala Sumbangsih Wanita dan kini sedang fokus untuk merencanakan taktikal ampuh sebelum aksi itu. -Bernama

View Original Article