‘Tiada aduan berhubung dakwaan buli daripada ibu Zara’

LocalPolitics
19 Sep 2025 • 3:32 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Ketua warden asrama SMKA Tun Datu Mustapha, Azhari Abd Sagap memberitahu Koroner bahawa ibu arwah Zara Qairina Mahathir tidak pernah membuat sebarang aduan kepadanya berhubung dakwaan buli terhadap anaknya.

Katanya, dia hanya mengetahui mengenai dakwaan itu selepas melihat hantaran TikTok yang dibuat oleh ibu Zara.

Malah, pada 16 Julai ketika di unit kecemasan, Azhari berkata ibu Zara hanya bercakap mengenai peribadi anaknya yang disifatkan sebagai seorang periang dan gemar menulis.

Azhari mendedahkan perkara itu ketika menjawab soalan peguam Abdul Fikry Jaafar Abdullah dalam prosiding inkues Zara di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan pada Khamis.

Fikry: Ibu Zara tidak pernah memberitahu anda mengenai kejadian buli ketika bertemu pada 16 Julai?Azhari: Ibu Zara tidak menyebut apa-apa mengenai buli. Kami hanya mengetahuinya selepas ibu Zara membuat hantaran di TikTok, tetapi kami tidak tahu sama ada ia benar-benar kes buli atau tidak.

Fikry: Berdasarkan jawapan anda, adakah maksudnya kes buli ini hanya diketahui selepas ibu Zara membuat hantaran di TikTok?Azhari: “Ya. Dalam hantaran itu, ibu Zara menyebut, ‘Saya tau nama-nama yang anak saya sebut.’”Fikry turut bertanya mengenai kenyataan ibu Zara melalui peguamnya yang menyebut ugutan, “Kalau aku touch-touch kau ni, berdarah kau ni,” dan sama ada Azhari mengetahuinya.

Azhari berkata dia tidak tahu mengenai perkara itu, namun selepas audio berkenaan tular di media sosial, pihaknya menjalankan siasatan dan menurutnya insiden itu berlaku sekitar Mei tahun ini.

“Untuk makluman, cerita tentang Kak M berlaku sekitar bulan Mei… Persoalannya, kenapa ibu Zara tidak melaporkannya kepada pihak sekolah? Itu yang saya ingin tahu.

“Saya juga terkesan dengan kehilangan Zara, sebab itu saya mahu tahu segalanya.

“Kenapa tiada aduan? Jika Zara tidak membuat aduan, sepatutnya ada daripada ibunya, tetapi tiada. Saya sudah bertanya dalam kumpulan rasmi guru jika ada sebarang aduan, tetapi memang tiada langsung,” katanya.

Mahkamah Koroner turut mendengar rakaman audio perbualan telefon antara Zara dan ibunya, yang antara lain mendedahkan insiden melibatkan Kak M.

Azhari juga memberitahu Koroner bahawa siasatan mengenai Kak M tidak berkaitan dengan pelajar B, C, D dan E.

Mengulas lanjut mengenai Kak M, Azhari berkata siasatan mendapati Zara dan seorang lagi pelajar, A, telah dipanggil oleh adik Kak M yang merupakan pelajar Tingkatan Dua berhubung sekeping kertas yang mengandungi tulisan: “Kakak Minap dia seorang yang sok orku, sengaja takutkan Form 1 padahal baru junior” dan tulisan itu dibuat oleh Zara dan A.

“Apabila Kak M lalu di tempat Zara, pelajar A dan adiknya berkumpul, dia bertanya kepada adiknya apa yang berlaku. Adiknya memberitahu bahawa Zara dan A menulis sesuatu tentang dirinya pada kertas itu.

“Kak M, yang ketika itu tidak stabil emosinya kerana biliknya dalam keadaan kotor dan berselerak, kemudian berkata, ‘Kalau aku touch-touch kau ni, berdarah kau ni.’Kertas berkenaan sudah saya serahkan kepada pihak polis.

“Saya tidak tahu sama ada rakaman audio yang tular itu sahih atau tidak, tetapi cerita itu memang wujud di sekolah,” kata Azhari kepada mahkamah.