Tiada akta khusus sukarkan Melaka pantau Airbnb

15 Dec 2022 • 1:23 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

MELAKA: Ketiadaan akta khusus melibatkan pengendalian Airbnb menyukarkan kerajaan negeri memantau pelbagai isu berkaitan perkhidmatan tersebut terutama membabitkan aspek keselamatan pelanggan.

Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata sebagai negeri berteraskan pelancongan, beliau berharap Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya memandang serius isu pendaftaran Airbnb kerana tiada akta khusus mewajibkan pengendali perkhidmatan itu berdaftar dengan pihak berkuasa.

“Selagi tidak ada akta, kerajaan negeri tidak boleh berbuat apa-apa termasuk mewajibkan pengendali Airbnb ini berdaftar (dengan kerajaan negeri).

“Kita juga tidak boleh pantau perkara berkaitan keselamatan, insurans serta kebersihan di lokasi yang dijadikan Airbnb itu,“ katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Low Chee Leong (PH-Kota Laksamana) mengenai status pendaftaran Airbnb di negeri ini.

Terdahulu beliau menjawab soalan dikemukakan Dr Mohd Aleef Yusof (PN-Sungai Udang) yang mahu tahu mengenai usaha memastikan hotel di Melaka yang ditutup kembali beroperasi agar tidak merencatkan pemandangan di kawasan tumpuan pelancongan.

Ketika menjawab soalan Dr Mohd Aleef itu, Muhammad Jailani berkata antara usaha yang boleh dilakukan adalah kerajaan Persekutuan memudahkan pengambilan tenaga kerja terutama dari luar menerusi program internship. - Bernama