
PEMPENGARUH media sosial yang terkenal dengan perkongsian konten Islamik, Fatin Nabila Ahmad Zainuddin, selamat melangsungkan perkahwinannya selepas lebih setahun menjalani kehidupan solo.
Berkongsi berita gembira tersebut di laman Instagram miliknya, Fatin meluahkan rasa syukur yang tidak terhingga apabila doa yang dititipkan di Tanah Suci Makkah akhirnya menjadi kenyataan.
"Antara doa saya ketika mencium batu hajarulaswad pada September tahun lepas telah dimakbulkan ALLAH SWT.
"ALLAH Maha Baik dalam setiap perancangan-NYA. Alhamdulillahirabbilalamin," tulisnya.
Mengimbas kembali detik awal perkenalan, wanita itu mendedahkan kisah mereka bermula apabila lelaki itu menyatakan hasrat untuk bertemu dengan ibunya.

"Kisah kami bermula apabila dia menyatakan hasrat untuk bertemu dengan ibu saya pada bulan Ramadan 2026," kongsinya.
Menurut Fatin, segalanya berlalu dalam sekelip mata selepas pulang dari umrah hingga selamat bergelar suami isteri.
"Selepas Ramadan, saya ke umrah. Qadarullah, bulan 4 bertunang dan tidak tahu bagaimana percaturan Tuhan, bulan 6 bernikah," kongsinya yang turut memaklumkan topik perbualan bersama rakan ketika berada di Masjid Nabawi menjadi realiti.
Berada di fasa baharu ini, Fatin sempat menitipkan pesanan mendalam buat para pengikutnya agar tidak berputus asa dengan rahmat Tuhan.

"Pengajaran besar perkahwinan ini, Wallahi, jangan berhenti berdoa. Berdoalah sungguh-sungguh walaupun apa yang diminta nampak seperti mustahil. Tiada apa yang mustahil bagi ALLAH SWT," titipnya lagi.
Dalam hantaran yang sama, dirinya turut meluahkan rasa bahagia apabila kini mempunyai figura seorang pemimpin yang membimbing hidupnya ke arah kebaikan.
"Semoga ALLAH memberkati perkahwinan ini dan memberikan kebaikan di dunia dan akhirat.
"Saya gembira untuk menyatakan bahawa awaklah pemimpin yang memimpin hidup saya, mencurahkan saya dengan kasih sayang dan sentiasa menambah baik kehidupan kita melalui agama. Semoga ALLAH reda," titipnya.
Sekadar info, Fatin bercerai pada 1 Januari 2025.
