JEMPOL – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim setakat ini hanya mengeluarkan peringatan kepada anggota pentadbiran supaya mengekalkan semangat perpaduan dan berkempen secara berhemah sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN).
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, setakat ini tiada sebarang arahan dikeluarkan Perdana Menteri selain mengingatkan semua yang berkhidmat dalam Kerajaan Perpaduan agar terus memelihara disiplin dan profesionalisme.
"Setakat ini belum ada apa-apa arahan daripada Perdana Menteri. Cuma peringatan agar semua yang berkhidmat dalam Kerajaan Perpaduan mengekalkan semangat perpaduan.
"Ia juga peringatan supaya kita memastikan aspek disiplin dan profesionalisme sentiasa dipelihara ketika berkempen," katanya kepada pemberita ketika ditemui dalam Program Ziarah Kasih di Felda Palong 2 bersama calon Pakatan Harapan (PH) DUN Jeram Padang, G Manivanan pada Isnin.
Terdahulu, media melaporkan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan beliau bersedia melepaskan jawatan sebagai anggota Kabinet sekiranya diarahkan oleh Perdana Menteri.
Sementara itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata, sekiranya seseorang menteri tidak lagi dikehendaki, tiada keperluan untuk terus menunggu bagi melepaskan jawatan.
Sebelum ini, Anwar di Ipoh memberi amaran kepada mana-mana menteri, timbalan menteri dan pemegang jawatan dalam agensi kerajaan supaya tidak menggunakan kedudukan mereka untuk menyerang rakan dalam Kerajaan Persekutuan ketika berkempen pada PRN.
Menurut Anwar, mana-mana pihak yang berbuat demikian akan diminta berundur daripada jawatan yang disandang.
Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, Perdana Menteri memandang proses demokrasi itu membolehkan perbezaan pandangan dan pendapat.
"Malah, jika kita lihat beberapa PRN sebelum ini, parti-parti juga bertanding secara berasingan.
"Tapi yang ditegaskan adalah jangan berlaku satu keadaan, mesti terus saling hormat menghormati antara penjawat bagi jawatan dalam kerajaan perpaduan itu penting.
"Kita tahu kita sebarang tindakan di pihak Kerajaan Persekutuan mempunyai implikasi persepsi terutama di kalangan para pelabur sama ada dalam negara mahupun luar negara. Jadi Perdana Menteri juga memandang aspek ini dalam kita mengurus perbezaan yang mungkin timbul sewaktu demokrasi berjalan," katanya.

