Peguam bela kepada pasangan ibu bapa Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin mengemukakan hujahan bahawa tiada elemen niat bersama dalam pengabaian yang didakwa dilakukan terhadap anak autisme mereka.
Menurut hujahan bertulis yang difailkan Tetuan Haresh Mahadevan & Co pada 23 Mei lalu, pihak pembelaan menegaskan Ismanira Abdul Manaf sentiasa peka terhadap anaknya dengan mengawasi Zayn Rayyan menggunakan deria pendengaran, yang dianggap sesuai dengan keperluan anak autisme.
Pembelaan turut merujuk keterangan saksi pendakwaan keempat (SP4), Inspektor Nina Syamimi Syamsuddin, yang menyatakan Ismanira menangis ketika mayat Zayn ditemukan pada 6 Disember 2023. Malah, sehari sebelum itu, Ismanira telah membuat laporan polis dan dilihat giat mencari anaknya dalam keadaan berpeluh oleh saksi pendakwaan ke-16 (SP16).
“Tiada bukti kukuh yang menunjukkan kedua-dua tertuduh cuai. Malah, tindakan dan reaksi Ismanira adalah selari dengan kelakuan seseorang yang tidak bersalah,” menurut hujahan setebal 127 muka surat itu.
Pihak pembelaan juga berhujah bahawa tiada saksi mata menyaksikan pengabaian tersebut, sebaliknya hanya berdasarkan tafsiran pegawai penyiasat. Tambahan pula, kenyataan yang diperoleh daripada saksi-saksi didakwa cuba dipengaruhi oleh pihak polis agar memudaratkan tertuduh.
Pembela turut menafikan bahawa tindakan Ismanira membenarkan Zayn berjalan di belakang ketika pulang dari sekolah adalah satu bentuk pengabaian. Ini disokong oleh SP10, Nasimah Abu Bakar, yang menyifatkan Zayn sebagai kanak-kanak pasif dan mampu mengikut petunjuk harian dengan baik.
Kesemua hujahan ini dikemukakan bagi menyokong permohonan supaya Zaim Ikhwan Zahari dan isterinya dilepas dan dibebaskan tanpa perlu dipanggil membela diri. Keputusan kes akan diumumkan pada 21 Julai depan oleh Hakim Dr Syahliza Warnoh selepas pihak pendakwaan menutup kes dengan memanggil 28 saksi, termasuk pakar patologi dan dua kanak-kanak.
Sumber: Harian Metro
The post ‘Tiada bukti abaikan anak’, Pembelaan minta ibu bapa Zayn Rayyan dibebaskan appeared first on The Reporter.

![Usahawan Berhabis RM1 Juta Hadiahkan Barang Mewah Termasuk Kereta Sempena Hari Jadi Anak [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/lifestyle.jpeg)

