Tiada Bukti Pamela Rancang Penculikan Sendiri – Peguam

LocalPolitics
9 May 2025 • 4:32 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Sejak belakangan ini, kecoh di media sosial mengenai kisah kehilangan Datin Seri Pamela Ling Yueh.

Pamela dilaporkan hilang dan dipercayai diculik sewaktu dalam perjalanan menggunakan perkhidmatan e-hailing ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pada 9 April lalu dan masih belum ditemui hingga ke hari ini.

Namun, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa dalam satu kenyataan terbaharu semalam (8 Mei) menjelaskan pihaknya tidak menolak kemungkinan kes penculikan tersebut adalah rancangan Pamela sendiri.

Jelas Rusdi, berdasarkan hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV), pihaknya mendapati mangsa hanya mengikut arahan suspek dan tiada pergelutan berlaku serta berjalan dengan lancar.

Malah, tiga anak Pamela dan beberapa individu yang tinggal di Singapura juga akan dipanggil untuk membantu siasatan.

Polis Perlu Sahkan Dengan Bukti Kukuh Kemungkinan Pamela Rancang Penculikan Sendiri – Peguam

Terbaharu, peguam yang mewakili Pamela menyifatkan siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bahawa terdapat kemungkinan Pamela menculik diri sendiri adalah tidak wajar.

Menurut peguam, Datuk N. Sivananthan, perkara tersebut perlu disahkan dengan bukti kukuh serta penahanan semua suspek yang terlibat.

“Kalau tak tangkap mana-mana suspek, kenapa nak siasat bahawa ia dirancang sedangkan semua bukti menunjukkan dia diculik.

“Melainkan suspek itu sendiri yang beritahu perkara itu dirancang,” katanya yang dipetik daripada Kosmo.

Usaha Mengesan Keberadaan Pamela Lebih Penting

Tambah Sivananthan lagi, usaha mengesan keberadaan Pamela adalah lebih penting bagi memastikan keselamatan beliau.

“Jangan sebab itu, usaha mengesan Pamela tidak dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Kalau betul ada bukti yang kukuh, tunjukkan secara telus.

“Pada saya, satu-satunya cara untuk mengesahkan perkara itu adalah melalui soal siasat suspek,” ujarnya.

Tiada Keperluan Anak Pamela Beri Keterangan Berhubung Kes Penculikan Ibu Mereka

Pada masa yang sama, Sivananthan berpendapat tiada keperluan ketiga-tiga anak Pamela dipanggil datang ke Malaysia untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.

Jelasnya, pihak polis boleh sahaja mengambil keterangan mereka yang berusia 18 hingga 20 tahun itu melalui panggilan video atau hadir sendiri ke Singapura.

“Anak-anak Pamela mungkin tak akan datang ke Malaysia lebih-lebih lagi selepas mengetahui ibu mereka telah diculik. Mereka mesti bimbangkan soal keselamatan.

“Kalau polis nak ambil keterangan, mungkin mereka boleh ambil melalui panggilan video atau datang ke Singapura,” jelasnya.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain melaporkan siasatan turut menjurus kepada penglibatan suami wanita berkenaan termasuk beberapa individu lain.

Sehingga kini, seramai 16 individu telah diambil keterangan termasuk suami Pamela.

Baca Artikel Berkaitan:

Source: