KUALA TERENGGANU - Persatuan Nelayan Kawasan Kuala Terengganu Selatan (PNKKTS) menafikan dakwaan pembabitan warga asing khususnya etnik Rohingya, dalam aktiviti memunggah ikan di dalam kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Pulau Kambing, di sini.
Pengerusinya, Mohd Razif Embong menegaskan, golongan itu tidak dibenarkan memasuki kawasan kompleks berkenaan untuk menjalankan sebarang aktiviti pemunggahan hasil laut.
Malah katanya, PNKKTS dengan kerjasama pengurusan LKIM turut menguatkuasakan larangan terhadap kemasukan warga asing termasuk etnik Rohingya daripada membeli-belah hasil laut di Pasar Nelayan yang terletak dalam kompleks tersebut.
"Saya menafikan sekerasnya pembabitan warga asing terutama etnik Rohingya di dalam dan di luar kawasan kompleks LKIM Pulau Kambing seperti yang ditularkan melalui laman sosial sebelum ini.
"Kita sudah melakukan siasatan dan mendapati gambar sekumpulan etnik Rohingya yang didakwa sedang menangkap ikan untuk disimpan sebagai stok mereka sebenarnya bukan berlaku di dalam atau di luar kawasan kompleks LKIM Pulau Kambing," katanya.
**media[3543245]**
Beliau berkata demikian bagi mengulas hantaran yang tular di media sosial didakwa memaparkan sekumpulan warga asing Rohingya kononnya sedang memunggah ikan untuk simpanan stok sendiri berhampiran tiga buah lori di kompleks LKIM Pulau Kambing.
Mengulas lanjut, Mohd Razif menjelaskan bahawa gambar yang dimuat naik dan disebarkan melalui laman sosial itu diambil di lokasi lain dan bukannya di kawasan kompleks LKIM Pulau Kambing.
Katanya, pihak pengurusan memastikan semua warga asing termasuk etnik Rohingya tidak dibenarkan sama sekali memasuki kawasan kompleks LKIM.
"Kita sentiasa bersedia untuk memberi kerjasama penuh termasuk melaporkan segera kepada agensi penguat kuasa, terutama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) negeri sekiranya terdapat warga asing yang dikesan menceroboh atau memasuki kawasan kompleks ini," ujarnya lagi.




