KLANG - Premis perniagaan, sangkar ikan serta bot nelayan yang menggunakan bahan api diesel antara sasaran pemeriksaan bersepadu Ops Tiris 4.0 dan pematuhan Akta Timbang dan Sukat 1972 di Pulau Ketam, di sini, pada Selasa.
Operasi bermula kira-kira jam 10 pagi itu dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor bersama Bahagian Penguat Kuasa KPDN Putrajaya serta Pasukan Polis Marin Wilayah 1 Pelabuhan Klang.
Timbalan Ketua Pengarah Penguat Kuasa (Pencegahan) Bahagian Penguat Kuasa KPDN, Aris Mamat berkata, antara menjadi fokus adalah pematuhan melibatkan penggunaan barang kawalan berjadual termasuk diesel bersubsidi dalam kalangan peniaga dan pengusaha bot nelayan di kawasan pulau berkenaan.
"Pemeriksaan dijalankan bagi memastikan pematuhan berkaitan penandaan harga, pemilikan dokumen sah barang kawalan, penggunaan alat timbang sukat dan harga maksimum runcit barang kawalan berjadual.
"Ia melibatkan minyak masak, gula, tepung gandum, petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG)," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, pemeriksaan fizikal turut dilakukan di kawasan pelihara ikan dan bot nelayan bagi memastikan aspek keselamatan penggunaan bahan api diesel dipatuhi.
"Pulau Ketam yang terkenal sebagai kawasan pelancongan serta pusat aktiviti perikanan dan perniagaan tidak terkecuali daripada pematuhan undang-undang di bawah KPDN.
"Operasi ini menunjukkan komitmen KPDN bersama agensi penguat kuasa dalam memantau aktiviti perdagangan termasuk di kawasan kepulauan dan perairan," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pendekatan advoinspect turut dilaksanakan dengan anggota penguat kuasa memberi penerangan serta bimbingan secara terus kepada peniaga.
"Amaran akan diberikan bagi kesalahan kali pertama seperti gagal meletakkan tanda harga atau tidak membuat tentusahan alat timbang sukat.
"Peniaga turut diberikan penerangan secara terus supaya mereka memahami dan mematuhi peraturan ditetapkan," katanya.
Aris berkata, KPDN tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi Akta Kawalan Bekalan 1961.
"Individu yang disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama dan RM3 juta bagi kesalahan berikutnya selain hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
"Bagi syarikat pula, denda boleh mencecah RM2 juta dan meningkat sehingga RM5 juta bagi kesalahan berikutnya," katanya.






