Tiada Harapan Proton e.MAS 5 Di Thailand, ‘Kembar’ Geely Yang Masuk

LocalCars
7 Nov 2025 • 3:00 PM MYT
Carz Automedia
Carz Automedia

Latest automotive news & review in one place.

image is not available

image is not available

Proton e.MAS 5 kini sah tidak akan memasuki pasaran Thailand. Puncanya? Rakan kongsi strategik Proton, Geely, dilaporkan akan melancarkan 'kembar' e.MAS 5 di Thailand, sekaligus mengesahkan jenama itu diketepikan dari pasaran utama ASEAN.

Kemunculan Geely EX2 Di Thailand

image is not availableimage is not available

Menurut sumber dari negara jiran, Geely akan memperkenalkan model hatchback elektrik yang dikenali sebagai 'Geely EX2' di pasaran Thailand hujung tahun ini. Pelancaran ini akan dibuat melalui rakan kongsi tempatannya, Geely Thonburi Thailand.

image is not available

Untuk makluman pembaca, EX2 atau juga dikenali dengan nama Geely Xingyuan (Starwish) di China adalah 'kembar' kepada Proton e.MAS 5 yang baru dilancarkan di Malaysia minggu lalu.

Ketibaan EX2 di Thailand menjadikan negara tersebut sebagai pasaran pemanduan sebelah kanan (RHD) yang pertama menerima kedatangan model ini. Dengan jualan mencecah lebih daripada 400,000 unit di China, EX2 diramalkan bakal mencatatkan kejayaan yang sama di Thailand.

EV Proton Tiada Harapan Tembusi Pasaran Thailand?

image is not availableimage is not available

Berdasarkan situasi ini, kelihatan seperti Geely menjadi ‘penghalang’ untuk jenama Malaysia kembali ke Thailand. Sejauh mana kebenaran spekulasi ini masih belum dapat disahkan. Apa yang jelas, tiada satu pun model EV Proton e.MAS termasuklah e.MAS 7 (yang mana kembarnya 'Geely EX5,' sudah dijual di Thailand) akan dieksport ke Thailand, buat masa ini.

Spesifikasi Kembar e.MAS 5 Untuk Pasaran Thailand

Laporan mendedahkan bahawa ‘rakan kongsi Proton’ itu menyasarkan untuk melancarkan dan mengumumkan harga EX2 di acara automotif terbesar negara itu, Thai Motor Expo, pada 28 November nanti.

Seperti e.MAS 5, Geely EX2 dijangka dipasarkan dalam dua varian iaitu Prime dan Premium, yang dibezakan melalui kapasiti bateri dibekalkan CATL iaitu 30.12 kWj dan 40.16 kWj, masing-masing dengan jarak perjalanan maksimum 225 km dan 325 km, berdasarkan standard WLTP.

image is not available

Geely EX2 dijangka akan ditawarkan pada harga lebih rendah berbanding Geely EX5 (kembar e.MAS 7) yang kini dijual pada harga promosi menjelang Thai Motor Expo pada THB 699,000 (kira-kira RM90,339) bagi varian Pro dan THB 849,000 (kira-kira RM109,725) bagi varian Premium. Angka ini jauh lebih rendah daripada harga e.MAS 7 di Malaysia yang dijual pada RM105,800 - RM119,800.

Baca: Proton e.MAS 7 Tembusi Pasaran Trinidad & Tobago – Hanya Satu Varian