‘Tiada istilah badi, kalau takdir jadi juara, maka juaralah’

3 Aug 2026 • 12:45 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Tiada istilah badi, kalau takdir jadi juara, maka juaralah’

PETALING JAYA – Tetap berjaya dan popular meskipun tidak memenangi pertandingan nyanyian, penyanyi Nabila Razali percaya kejayaan seseorang bukan ditentukan oleh gelaran juara, sebaliknya bergantung kepada usaha, kesungguhan serta kemampuan memanfaatkan kelebihan diri.

Ujar Nabila atau nama sebenarnya Nur Nabila Mohd. Razali, 33, dia menerima segala kekuatan serta kelemahan diri dengan hati terbuka dan memilih untuk terus memperbaiki diri demi menjadi insan serta penghibur lebih baik.

“Setiap manusia mempunyai kelebihan tersendiri. Saya percaya apa ada pada diri saya mungkin tidak dimiliki orang lain, begitu juga sebaliknya.

“Saya memilih menerima kelebihan dimiliki dan menggunakannya sebaik mungkin. Semua orang perlu bersyukur dengan apa dimiliki, bukannya terlalu mengejar perkara tidak semestinya sesuai untuk diri sendiri.

“Sejak awal lagi saya sedar kemampuan saya setakat mana. Jadi, mengapa perlu membandingkan diri dengan orang lain? Saya hanya fokus memperbaiki diri supaya menjadi insan lebih baik dari semasa ke semasa,” katanya kepada Kosmo! Online.

Mengulas tanggapan kononnya ramai juara pertandingan nyanyian sukar mengekalkan populariti berbanding peserta bukan juara, pelantun lagu Pematah Hati itu menyifatkan persepsi tersebut tidak berasas.

Tegasnya, kejayaan seseorang bergantung kepada kesungguhan selepas pertandingan berakhir, selain sokongan pasukan pengurusan dan doa.

“Bagi saya, tiada istilah badi. Kalau sudah ditakdirkan menjadi juara, maka juaralah. Kalau sekadar naib juara atau peserta lain, itu juga ketentuan.

“Apa lebih penting ialah usaha selepas pertandingan. Ada juara mungkin selesa menunggu peluang, tetapi peserta bukan juara sedar mereka perlu bekerja lebih keras, buat lebih banyak perkara dan membuktikan kemampuan.

“Di situlah orang nampak usaha seseorang. Bakat memang penting, tetapi usaha, doa serta sokongan pasukan pengurusan turut memainkan peranan besar dalam menentukan kejayaan,” ujarnya.

Paling penting ungkap alumni Akademi Fantasia musim ke-10 itu, aura seorang artis bukan sesuatu boleh dibeli, sebaliknya dibina secara perlahan-lahan menerusi disiplin dan kesungguhan.

“Aura bukan sesuatu boleh dibeli atau dicari. Aura dibina sedikit demi sedikit melalui kerja keras. Kalau kita sendiri malas dan tidak mahu berubah menjadi lebih baik, sukar untuk berjaya.

“Saya tidak suka bercakap tentang orang lain. Saya lebih suka melihat diri sendiri dan bertanya, dalam lima atau 10 tahun lagi saya mahu menjadi penyanyi seperti apa.

“Melihat apa berlaku kepada rakan-rakan industri, saya ambil sebagai pengajaran. Sedar saya bukan sempurna sebab itu sentiasa mencari ruang memperbaiki diri, baik daripada segi nyanyian, penampilan atau apa sahaja aspek mampu membantu mencapai impian,” tuturnya.

Sebelum ini, timbul perdebatan dalam media sosial apabila ramai berpendapat pemenang pertandingan nyanyian bukan lagi jaminan untuk terus popular, malah ramai peserta tidak bergelar juara dilihat lebih menyerlah serta berjaya membina nama dalam industri hiburan tanah air. – KOSMO! ONLINE

The post ‘Tiada istilah badi, kalau takdir jadi juara, maka juaralah’ appeared first on Kosmo Digital.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved