'Tiada keperluan mendesak bubar DUN Perak lebih awal' - Saarani

LocalPolitics
23 Nov 2026 • 1:07 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Tiada keperluan mendesak bubar DUN Perak lebih awal' - Saarani
Saarani (tiga dari kanan) menyampaikan Wakalah Zakat Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak di Stadium Indera Mulia di sini pada Isnin.

IPOH – Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak tidak akan dibubarkan lebih awal bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) berikutan tiada keperluan mendesak untuk berbuat demikian.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pembubaran DUN tidak boleh dibuat hanya berdasarkan khabar angin atau momentum politik semata-mata, sebaliknya perlu disertakan alasan munasabah sebelum memohon perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Menurutnya, kuasa memperkenankan pembubaran DUN terletak pada Sultan Perak, manakala Menteri Besar perlu menghadap baginda bagi mengemukakan justifikasi yang kukuh.

"Kalau setakat belanjawan dah habis nak bubar, (ia) tak semudah itu, (namun) mesti ada alasan yang munasabah.

“Setakat ini tidak ada keperluan mendesak untuk membolehkan saya menghadap Tuanku memohon pembubaran (kerana) tidak ada keperluan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program MESRA Hari Bertemu Pelanggan (HBP) Kerajaan Negeri Perak Siri Ke-8 Tahun 2026 di Stadium Indera Mulia di sini pada Isnin.

Sebelum ini, spekulasi mengenai pembubaran DUN Perak tersebar di media sosial susulan dakwaan kononnya Saarani telah menghadap Sultan Nazrin bagi tujuan berkenaan.

Mengulas lanjut, Saarani menjelaskan, antara keadaan yang boleh menjadi asas kepada permohonan pembubaran DUN ialah apabila rakan strategik dalam Kerajaan Perpaduan menarik diri sehingga menyebabkan kerajaan negeri kehilangan sokongan majoriti.

Bagaimanapun, beliau menegaskan situasi itu tidak berlaku ketika ini, malah pentadbiran negeri terus berjalan lancar hasil kerjasama semua rakan dalam kerajaan.

“Setakat ini tidak ada, malah minggu lepas semasa khabar angin tersebar kononnya saya menghadap Tuanku, masa berita itu keluar kami (barisan Exco kerajaan kerajaan negeri) sedang bermesyuarat.

“Selagi mana mandat itu masih ada, kita akan tumpukan perhatian, fokus untuk pembangunan negeri,” katanya.

Dalam pada itu, Saarani memberitahu, keputusan membubarkan DUN juga tidak boleh dibuat semata-mata berdasarkan momentum kemenangan parti di negeri lain tanpa mengambil kira pelbagai faktor termasuk tahap kesiapsiagaan menghadapi pilihan raya.

Menurutnya, persiapan jentera pilihan raya termasuk di peringkat pusat daerah mengundi (PDM) serta kedudukan kewangan turut perlu dipertimbangkan sebelum sebarang keputusan dibuat.

"Kerajaan negeri akan terus memberi tumpuan kepada agenda pembangunan Perak selagi mandat pentadbiran masih kekal, tanpa dipengaruhi spekulasi politik," tambah beliau.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved