
IPOH: Pejabat Menteri Besar Perak menafikan dakwaan bahawa Datuk Seri Saarani Mohamad telah menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bagi memohon pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dan mendapat perkenan baginda.
Pejabat Menteri Besar Perak dalam kenyataannya hari ini menegaskan, dakwaan yang tersebar menerusi beberapa platform media sosial itu sama sekali tidak benar dan tidak berasas.
Menurut kenyataan itu, pihaknya turut mengesan penyebaran grafik menyerupai siaran berita televisyen selain penyiaran semula bahan berita lama yang boleh menimbulkan kekeliruan orang ramai mengenai kedudukan semasa Dewan Undangan Negeri Perak.
“Pejabat Menteri Besar Perak memandang serius penyebaran maklumat tidak benar khususnya yang mengaitkan institusi diraja dan pentadbiran kerajaan negeri.
“Sehubungan itu, satu laporan polis telah dibuat bagi membolehkan siasatan dan tindakan lanjut diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab,” katanya di sini hari ini.
Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan supaya mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi dan tidak menyebarkan kandungan yang belum disahkan kesahihannya.
Terdahulu, tular di media sosial maklumat tidak sahih yang menyebut bahawa Sultan Perak telah memberi perkenan DUN Perak dibubarkan berkuat kuasa hari ini.
Malah turut dikongsi video siaran berita televisyen yang menunjukkan Menteri Besar Perak mengumumkan pembubaran DUN berkenaan. – UTUSAN
The post Dakwaan pembubaran DUN tidak benar appeared first on Utusan Malaysia.






